Tenaga pengajar perlu ketahui Bahasa Dalam

Tenaga pengajar perlu ketahui Bahasa Dalam

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Seorang tenaga pengajar, juga sebagai pegawai perkhidmatan awam yang berinteraksi dengan pihak-pihak tertentu perlu mengetahui adat istiadat penggunaan Bahasa Dalam, selari dengan suasana dan keadaan di Negara Brunei Darussalam yang mengikut falsafah Melayu Islam Beraja.

Perkara itu disentuh oleh wakil dari Jabatan Adat Istiadat, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dr. Hidop bin Pengiran Haji Samsudin ketika ditemubual semasa sesi Taklimat Mengenai Terasul dan Bahasa Pengganti Diri “Bahasa Dalam” yang dianjurkan oleh Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong untuk pensyarah-pensyarah dan kakitangan di PTE Sengkurong, di sini, petang ini.

“Kita perlu mempesatkan hubungan di antara masyarakat, jadi kitani perlu mengetahui tatacara-tatacara beradat istiadat. Jadi bahasa dalam itu, digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi dengan pihak-pihak tertentu,”ujarnya lagi.

Beliau menambah bahawa peranan seorang tenaga pengajar yang boleh menyebarluaskan pengetahuan itu kepada generasi-generasi mendatang, maka dengan sendirinya generasi baru akan terbudaya dengan Bahasa Dalam dan tampil sebagai bangsa yang mempunyai jati diri tersendiri.

Pengiran Dr Hidop (kiri) ketika menyampaikan taklimat bersama penyelaras acara.
Pengiran Dr Hidop (kiri) ketika menyampaikan taklimat bersama penyelaras acara.
Antara yang hadir di majlis tersebut.
Antara yang hadir di majlis tersebut.

Selain itu beliau juga menjelaskan kepentingan Bahasa Dalam ini juga merupakan pancingan untuk menggalakkan minat generasi-generasi baru kepada beradat dan beristiadat. “Apabila generasi ini beradat dan beristiadat, pembangunan akan terlaksana dengan baik, kerana apabila beradat istiadat, mempunyai tatatertib yang baik, hormat kepada orang tua, hormat kepada pemimpin, hormat kepada guru dengan sendirinya mereka ini mematuhi orang-orang yang di atas mereka, dengan sendirinya sistem pentadbiran kita, sistem pembangunan kita akan terlaksana dengan baik kerana dapat melahirkan generasi yang sihat”, ujarnya lagi. Taklimat seumpamanya ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan para pensyarah dan kakitangan di pusat tersebut, sekaligus sebagai persiapan dalam apa juga kemungkinan yang memerlukan komunikasi menggunakan Bahasa Dalam.

Jabatan Adat Istiadat, juga mengalu-alukan jemputan untuk mengadakan taklimat bagi agensi-agensi yang memerlukan dengan menghubungi terus ke jabatan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA