Tengku Abdullah ahli Exco FIFA wakil Asia

Tengku Abdullah ahli Exco FIFA wakil Asia

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia, untuk penggal 2015-2019.

Tengku Abdullah dan Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Eksekutif Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima dipilih untuk mengisi jawatan itu semasa kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-26 yang diadakan di Manama, Bahrain pada Khamis.

Seorang lagi dipilih mengisi slot untuk Asia ialah Sheikh Ahmad Fahad Al Ahmad Al Sabah dari Kuwait yang sebelum ini pernah memegang jawatan sama pada 2013, telah dilantik semula sehingga 2017.

Tashima memperoleh undi tertinggi iaitu 36, diikuti Tengku Abdullah dengan 25 undi daripada 46 anggota AFC yang mengundi.

Untuk rekod, Tengku Abdullah merupakan rakyat Malaysia kedua yang dilantik sebagai ahli exco dalam badan pentadbir bola sepak dunia itu selepas Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga bekas Naib Presiden FIFA, selama lapan tahun dari 1982 sehingga 1990.

Semasa kongres itu, penyandang Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain mengekalkan jawatan itu selama empat tahun sehingga 2019 selepas menang tanpa bertanding.

Shaikh Salman yang juga anggota keluarga diraja Bahrain memegang jawatan itu sejak Mei 2013.

Mengenai pelantikan semula beliau, Shaikh Salman berkata, beliau berasa rendah diri dan berbesar hati setelah menang tanpa bertanding jawatan Presiden AFC dan Naib Presiden FIFA.