Tenom tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan 2016

Tenom tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan 2016

KOTA KINABALU, 5 Jan (Bernama) – Daerah Tenom yang terletak kira-kira 151 kilometer dari bandar raya ini, dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis pelancaran Pesta Kaamatan pada 1 Mei ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri, berkata majlis pelancaran itu akan diadakan di Padang Perbandaran Tenom dan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya jawatankuasa memilih tema “Keamanan dan Persahabatan” atau dalam bahasa setempat “Pibabasan Om Piombolutan” bagi pesta tahun ini yang dilihat bersesuaian dengan peranan perayaan yang dianggap sebagai wadah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah.

Kemuncak sambutan akan diadakan di Hongkod Koisaan KDCA di Penampang pada 30 dan 31 Mei dengan pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan kaum Kadazandusun, katanya.

Pairin juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama sambutan Pesta Kaamatan 2016, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 14 jawatankuasa termasuk jawatankuasa kecil telah dibentuk bagi melancarkan persiapan menyambut pesta itu.

Pairin berkata beberapa daerah juga telah menetapkan tarikh sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah masing-masing iaitu Kuala Penyu pada 7 Mei; Tongod (12 Mei); Tambunan, Pitas dan Putatan (14 Mei), Keningau, Kota Merudu, Membakut dan Kota Belud (15 Mei), Tamparuli/Tuaran (18 Mei) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dari 19 hingga 21 Mei.

“Daerah lain yang belum menetapkan tarikh sambutan pesta itu sedang dalam proses perbincangan,” katanya.