Tentera Afghan usir Taliban di Kunduz

Tentera Afghan usir Taliban di Kunduz

KUNDUZ, Afghanistan, 4 Okt – Tentera Afghan menjalankan operasi pembersihan di Kunduz pada awal hari ini, memberi amaran militan Taliban sedang bersembunyi di rumah orang awam selepas serangan beberapa jam ke atas bandar yang ditangkis dengan bantuan sokongan udara NATO.

Pegawai berkata beberapa pertempuran masih berterusan di pinggir bandar utara namun pusatnya telah bebas daripada pemberontak, dengan satu sumber meletakkan jumlah militan yang terbunuh dalam ‘ratusan’.

Serangan yang dilancarkan pada awal semalam berlaku setahun selepas militan menawan ibu negeri wilayah, dan tatkala Presiden Ashraf Ghani berlepas ke Brussels untuk bertemu dengan pemimpin dunia untuk persidangan bantuan asing.

“Dengan bantuan tentera khas, kami melancarkan satu operasi pada malam semalam dan membersihkan pusat bandar,” beritahu Mohammad Qasim Jangalbagh, ketua polis di Kunduz, kepada AFP, menambah ‘beratus pejuang Taliban’ telah terbunuh.

Masih tidak dapat mengesahkan jumlah kematian. Gabenor wilayah Kunduz Assadullah Omarkhil berkata operasi masih diteruskan.

Anggota tentera Afghan berdiri dengan membawa senjata mereka semasa pertempuran antara militan Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan di Kunduz kelmarin. – AFP
Anggota tentera Afghan berdiri dengan membawa senjata mereka semasa pertempuran antara militan Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan di Kunduz kelmarin. – AFP

“Ia agak perlahan disebabkan Taliban sedang menggunakan rumah orang untuk menyembunyikan diri,” kata beliau. “Kami meminta semua orang di bandar supaya tinggal dalam rumah mereka untuk mengelak pergerakan yang tidak wajar di bandar hari ini.”

Kerajaan “mengawal bandar Kunduz,” kata tentera NATO di Afghanistan di Twitter, sementara Pentagon mengesahkan Amerika Syarikat telah menjalankan serangan udara dan mempunyai tentera operasi khas untuk membantu tentera Afghan.

Berpuluh orang awam dilaporkan cedera ketika pertempuran, dengan sekurang-kurangnya seorang terbunuh, menurut hospital Kunduz dan kementerian dalam negeri Afghan.

Penduduk telah melaporkan terperangkap dalam rumah mereka akibat pertempuran sengit tatkala bunyi letupan bergema di seluruh bandar, dengan pegawai wilayah menyuarakan kebimbangan ia mungkin jatuh. – AFP