Tentera Afghanistan hapus peledak, bom tepi jalan

KABUL, 12 Feb – Anggota Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA) menemui 76 bom improvisasi dan periuk api dalam tempoh 24 jam, kata kementerian pertahanan negara itu.

“Pasukan pelupusan bahan peledak ANA itu berjaya menemui 76 alat peledak (IEDs) dan bom tepi jalan di tempat lain sejak awal kelmarin. Mereka telah berjaya memusnahkan bahan letupan sepanjang tempoh itu,” kata kementerian itu. Anggota tentera juga menemui dua kubu besar senjata berbahaya di daerah Ahmad Khil di wilayah timur Paktia kelmarin.

Mengandungi pelbagai peluru dan senjata yang berlainan, gudang yang ditemui itu merupakan milik Gul Noor, seorang komander terkenal rangkaian Haqqani, kata kementerian itu. Tentera telah membentuk satu kawalan untuk memastikan tapak di mana senjata api itu ditemui dalam keadaan selamat sebelum membawanya.

Sebagai kumpulan militan yang berkaitan dengan Taliban, rangkaian Haqqani telah dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat pada tahun 2012.

Tentera negara tetap komited untuk menjamin komuniti dan bekerja dengan gigih untuk meningkatkan keselamatan kepada rakyat Afghanistan di seluruh negara, kata kementerian itu. – Xinhua