Tentera akan hormati keputusan pilihanraya

Tentera akan hormati keputusan pilihanraya

NAYPYITAW, 25 Ogos (Reuters) – Ketua pemerintah berpengaruh Myanmar mengulangi bahawa pihak ketenteraan akan menghormati keputusan pilihan raya negara 8 November ini, dilihat sebagai ujian penting proses reformasi Myanmar.

Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata kebimbangan utama pasukan bersenjata, dikenali sebagai Tatmadaw, adalah pengundian dijalankan dengan adil dan keputusannya dihormati oleh semua orang – meskipun parti Aung San Suu Kyi, Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) memenangi majoriti.

“Kami tidak kisah meskipun NLD menang dalam pilihan raya umum akan datang, selagi ia bebas dan saksama,” dia memberitahu anggota Majlis Media Sementara, Myanmar, kumpulan sokongan media, ketika pertemuan semalam.

“Keinginan Tatmadaw untuk melihat pilihan raya akan datang diadakan dengan bebas dan adil. Kami akan meluluskan dan menyokong keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan.”

Pilihan raya Myanmar baru-baru ini telah dibelenggu oleh campur tangan ketenteraan.

Pada tahun 1990, NLD telah menang besar tetapi pengundian tidak diperakui oleh pihak tentera. Pengundian 2010 secara meluas dilihat sebagai dimanipulasi dan dijauhi NLD.

Ketenteraan Myanmar menyerahkan kuasa kepada kerajaan kuasi-awam pada tahun 2011, yang menamatkan 49 tahun pemerintahan tentera tetapi ketenteraan masih menguasai arena politik negara.

ARTIKEL YANG SAMA