Tentera arah penangkap Pikachu jauhi premis

Tentera arah penangkap Pikachu jauhi premis

HONG KONG, 26 Julai – Tentera China yang bertempat di Hong Kong telah mengingatkan orang yang mencari Pikachu dan raksasa alam maya lain supaya menjauhi premis mereka, tatkala mania Pokemon Go melanda bandar itu.

Aplikasi permainan itu mendarat di Hong Kong dan melihat penduduk lebih terpaku pada telefon mereka berbanding sebelumnya, mencari makhluk siber di lokasi dari gedung membeli-belah kepada ibu pejabat kerajaan.

Aplikasi itu menggunakan lokasi satelit, grafik dan keupayaan kamera kepada raksasa kartun berdasarkan latar atau persekitaran dunia sebenar, mencabar pemain supaya menangkap dan melatih mereka untuk pertempuran.

Namun keghairahan penduduk bandar untuk ‘menangkap mereka semua’ telah mencetuskan amaran daripada jabatan kerajaan malah Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) supaya menjauhi bangunan mereka.

Permainan itu telah menimbulkan kebimbangan yang meningkat di seluruh dunia berhubung keselamatan, dengan laporan pemain memasuki kawasan larangan, mengalami kecederaan atau menjadi mangsa jenayah.

Seorang jurucakap PLA berkata berek bandar merupakan zon tertutup.

“Berek tentera adalah kawasan larangan di bawah undang-undang Hong Kong. Tanpa kebenaran daripada pegawai, tidak ada sesiapa yang dibenarkan memasuki kawasan larangan,” beritahunya kepada AFP.

Polis juga mengingatkan penduduk supaya berhati-hati apabila bermain permainan itu.

“Apabila anda sedang menangkap raksasa, berhati-hati dengan persekitaran anda,” kata video polis yang disiarkan di Facebook.

“Bilik laporan polis adalah untuk orang yang memerlukan perkhidmatan polis, pemain tidak dibenarkan bermain permainan di sana, jadilah seorang pemain yang bijak!”

Satu papan tanda di tapak pembinaan juga melarang pemain daripada memasuki kawasan itu untuk menangkap Pokemon.

Di Indonesia, seorang pemain Perancis dihalang dan disoal selama beberapa jam selepas aplikasi membawanya ke sebuah pangkalan tentera. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA