Tentera AS berdepan banyak lagi tegahan

Tentera AS berdepan banyak lagi tegahan

TOKYO, 6 Jun – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berkata hari ini ia mengenakan tegahan minuman keras ke atas kakitangannya di Jepun ketika kerajaan Tokyo mengecam kes memandu semasa mabuk seorang askar yang memarakkan lagi bantahan ke atas pangkalan AS di Okinawa.

AS sekali lagi ditekan untuk mengawal sikap buruk selepas seorang kakitangan pangkalan itu ditangkap bulan lalu kerana dipercayai meninggalkan mayat seorang wanita Okinawa berusia 20 tahun yang polis syak telah dirogol dan dibunuh.

Jenayah daripada kakitangan AS telah mencetuskan bantahan ke atas pulau strategik itu dan mengakibatkan rasa jengkel dalam hubungan antara sekutu itu. Presiden AS, Barack Obama bulan lalu berikrar mengambil langkah untuk mencegah jenayah yang dilakukan oleh warga Amerika dan pihak tentera mengenakan sekatan termasuk perintah berkurung.

Namun seorang pegawai tentera laut telah ditangkap minggu lalu selepas dipercayai memandu di jalan bertentangan dalam keadaan mabuk dan mencederakan dua orang, seorang cedera parah, menurut polis Okinawa.

Para kelasi AS yang bertugas di seluruh negara itu telah ditegah daripada minum, sama ada di dalam atau luar pangkalan, bagi tempoh yang ditentukan dan juga terlibat pada sekatan lain, kata Pasukan Tentera Laut AS Jepun dalam satu kenyataan.

“Selama berdekad-dekad, kami mempunyai hubungan kukuh dengan rakyat Jepun,” kata pemerintah tentera laut di Jepun, Matthew Carter dalam satu kenyataan.

“Ia adalah sangat penting bahawa setiap kelasi perlu faham tentang tindakan kami boleh menjejaskan hubungan, dan perikatan Jepun-AS amnya.”

Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini memberitahu para pegawai kerajaan dan ahli perundangan parti peme-rintah, kes memandu dalam keadaan mabuk itu ‘amat dikesali…ketika ia berlaku semasa AS berkata mereka akan berusaha untuk memperkukuhkan disiplin,” lapor Jiji Press. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA