Tentera berkualiti benteng negara

Tentera berkualiti benteng negara

Oleh Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kekuatan sesebuah negara itu bukan sahaja dengan memiliki peralatan tentera yang canggih tetapi juga dapat dinilai sekiranya negara tersebut memiliki tentera yang berkualiti daripada segi fizikal dan mental, lebih-lebih jika berkemahiran menggunakan senjata-senjata moden.

Selain itu, para tentera hendaklah juga memiliki kekuatan rohani. Sejarah membuktikan kemenangan baik berpihak kepada tentera Islam dalam banyak peperangan walaupun jumlah mereka lebih sedikit berbanding tentera musuh dan tidak memiliki senjata yang canggih berbanding senjata kepunyaan musuh.

Ini dinyatakan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini yang berkisar mengenai aspek ketenteraan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan ABDB yang ke-54 yang bertemakan “Ke Arah Generasi Angkatan Bersenjata Berwawasan.”

Menurut Khatib, pekerjaan sebagai seorang tentera adalah tanggungjawab yang mulia di sisi agama dan negara, dan belia-belia yang ingin berkhidmat sebagai tentera tidak patut menganggap pekerjaan itu sebagai satu pilihan terakhir sehingga menyebabkan kualiti kerjanya tidak memuaskan.

Dalam menyambut hari ulang tahun ABDB ini, warga tentera diharapkan agar dapat meningkatkan lagi kekuatan jati diri dengan memfokuskan kekuatan fizikal, mental dan spiritual.

Fizikal atau jasmani iaitu tubuh badan yang sentiasa kuat dan sihat dapat dicapai dengan adanya latihan yang profesional dan bijak merancang strategi peperangan.

Pada zaman Rasulullah SAW itu ramai sahabat yang bijak dalam mengatur strategi peperangan sehinggakan mencapai kejayaan dan kemenangan dalam peperangan.

Selain itu, jelas Khatib, aspek spiritual atau kerohanian iaitu kekuatan dalaman adalah seperti sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT, sentiasa menjaga kewajipan seorang muslim seperti sembahyang lima waktu, berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji, janganlah diabaikan.

Mereka juga menghindarkan diri dari segala perbuatan mungkar seperti rasuah, pecah amanah, terlibat dengan dadah, berjudi, minum minuman keras dan berfoya-foya dengan perempuan bukan muhrim, di mana semua itu hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan mendapat azab.

Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sama ada tanggungjawab sebagai ketua keluarga, ketua jabatan atau ketua masyarakat dan sebagainya, maka tunaikanlah tanggungjawab itu dengan sempurna dan bersungguh-sungguh. Ingatlah bahawa kita akan ditanya di hadapan Allah SWT akan apa yang telah dilakukan atas apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

“Sebagai rakyat dan penduduk negara ini sama-samalah kita berganding bahu membantu pihak tentera menjaga keamanan dan kedaulatan negara yang dicintai ini. Semoga dengan demikian negara kita akan sentiasa aman dan terhindar dari sebarang ancaman musuh.”

ARTIKEL YANG SAMA