Tentera Brunei, M’sia adakan latihan bersama

Tentera Brunei, M’sia adakan latihan bersama

KOTA KINABALU, 19 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bekerjasama meningkatkan strategi pertahanan ketenteraan menerusi Eksesais

Malbru Setia Siri 12/2015 dan Mertak Bersatu Siri 10/2015 di beberapa lokasi di Sabah.

Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki bin Haji Mokhtar berkata, lebih 500 pegawai dan anggota tentera dari kedua-dua negara akan menyertai latihan yang berakhir pada 26 Oktober ini.

Katanya, penganjuran latihan bersama Malbru Setia itu julung kali diadakan di Sabah kerana sebelum ini latihan berkenaan dibuat di Miri, Sarawak memandangkan bandar itu bersempadan dengan Brunei.

Eksesais Mertak Bersatu pula memerlukan anggota tentera menjalani latihan itu di Kota Belud, katanya.

Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki.
Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki.

“Penganjuran latihan bersama tahun ini juga julung kali menggabungkan kedua-dua eksesais itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan eksesais berkenaan di Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Selain Kem Lok Kawi, latihan itu turut diadakan di Tamparuli hingga ke Lapang Sasar Kota Belud.

Eksesais itu akan didahului dengan latihan silang diikuti latihan medan fasa ofensif mara dan serangan, sebelum diakhiri dengan bantuan tembakan mortar.

Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki berkata latihan bersama antara anggota tentera Malaysia-Brunei itu mampu menjadi platform memperkukuhkan lagi hubungan ketenteraan dan meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Timbalan Pemerintah TDDB Kolonel Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan berharap pegawai dan anggota tentera Brunei mengambil peluang daripada latihan bersama berkenaan dari sudut perkongsian ilmu dan kemahiran ketenteraan. – Bernama