Tentera China tingkat latihan di kawasan bertikai

Tentera China tingkat latihan di kawasan bertikai

BEIJING, 13 Dis (Reuters) – Tentera Laut China sejak beberapa hari lepas menjalankan lebih banyak latihan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, menurut Kementerian Pertahanan hari ini, sambil menyifatkannya sebagai latihan rutin.

China menuntut hampir kesemua perairan yang kaya dengan minyak di Laut China Selatan, di mana perniagaan laut bernilai lebih daripada AS$5 trilion melaluinya setiap tahun. Filipina, Negara Brunei Darussalam, Vietnam, Malaysia dan Taiwan mempunyai tuntutan bertindan.

“Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat dalam beberapa hari ini menganjur satu armada untuk pergi ke laut relevan di Laut China Selatan, menerusi Pasifik Barat, untuk menjalankan latihan,” kata Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan ringkas.

“Tindakan ini adalah satu pengaturan rutin yang diadakan sejajar dengan pelan latihan tentera laut pada tahun ini,” tambahnya, tanpa mengulas lanjut.

Gambar di media sosial sumbangan media negeri China sejak kebelakangan ini menunjukkan gambar kapal tentera laut China terbabit dalam latihan secara langsung di Laut China Selatan, tanpa berkata di mana ia diadakan.

Kapal perang tentera laut China tatkala mengadakan latihan di perairan kawasan yang turut menjadi tuntutan bertindan oleh Filipina, Negara Brunei Darussalam, Vietnam, Malaysia dan Taiwan. – Agensi
Kapal perang tentera laut China tatkala mengadakan latihan di perairan kawasan yang turut menjadi tuntutan bertindan oleh Filipina, Negara Brunei Darussalam, Vietnam, Malaysia dan Taiwan. – Agensi

China sekali-sekala mengumumkan latihan sedemikian di Laut China Selatan, tatkala ia cuba menunjukkan ia bersikap telus mengenai penghantaran tenteranya.

China telah berselisih faham dengan Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini mengenai jalan air strategik itu.

Washington telah mengkritik pembinaan pulau tiruan oleh Beijing di gugusan kepulauan Spratly Laut China Selatan, dan telah menjalankan rondaan laut dan udara berhampiran mereka.

Pada bulan lalu, kapal terbang pengebom AS B-52 terbang berhampiran beberapa pulau tiruan China dan pada akhir Oktober sebuah kapal pembinasa belayar dalam jarak 12 batu nautika di antara salah satu di antara mereka.

China meluahkan kebimbangan pada minggu lalu mengenai satu perjanjian di antara Amerika Syarikat dan Singapura untuk menghantar sebuah kapal terbang pengintip AS P8 Poseidon ke negara kota itu, berkata tindakan tersebut bertujuan menenteramkan rantau itu.

ARTIKEL YANG SAMA