Tentera Darat M’sia, Brunei tingkat kerjasama pertahanan

Tentera Darat M’sia, Brunei tingkat kerjasama pertahanan

KOTA KINABALU, 28 Julai (Bernama) – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) akan terus bekerjasama meningkatkan strategi pertahanan tentera antara kedua-dua negara.

Ketua Staf Markas Angkatan Petugas 450 TDM Kolonel Dr Ahmad Sham Baharin berkata, hubungan erat yang sekian lama terjalin membolehkan integrasi pergerakan anggota tentera kedua-dua negara dapat dilaksanakan secara strategik menerusi pengemaskinian latihan ketenteraan bersama khususnya dalam tembakan mortar.

“Tujuan eksesais ini adalah melatih dan memahirkan anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan tembakan bersama.

“Latihan seperti ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara tentera dengan tentera, pegawai dengan pegawai demi manfaat bersama,” katanya kepada pemberita sempena mesyuarat “Exercise Planning Conference” (EPC) Mertak Bersatu Siri 10/15 dan MALBRU Setia Siri 12/15 di Hotel Promenade di sini hari ini.

Ahmad Sham bersama Pegawai Pemerintah Satu Batalion TDDB Leftenan Kolonel Omar Shariff Hidop hari ini mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan.

SEPAKAT... Pegawai Pemerintah 1 Batalion Tentera Darat DiRaja Brunei (TDDB) Leftenan Kolonel Omar Shariff Hidop (kanan) bersama Ketua Staf Markas Angkatan Petugas 450 Tentera Darat Malaysia Kolonel Dr Ahmad Sham Baharin ketika mesyuarat perancangan Eksesais Mertak Bersatu Siri 10/2015 dan Eksesais MALBRU SETIA Siri 12/2015 hari ini. – Bernama
SEPAKAT… Pegawai Pemerintah 1 Batalion Tentera Darat DiRaja Brunei (TDDB) Leftenan Kolonel Omar Shariff Hidop (kanan) bersama Ketua Staf Markas Angkatan Petugas 450 Tentera Darat Malaysia Kolonel Dr Ahmad Sham Baharin ketika mesyuarat perancangan Eksesais Mertak Bersatu Siri 10/2015 dan Eksesais MALBRU SETIA Siri 12/2015 hari ini. – Bernama

Ahmad Sham berkata latihan yang diadakan dua kali setahun itu dijadual dilaksanakan di Kota Belud dan Miri pada Oktober ini.

Sementara itu, Omar Shariff berkata EPC merupakan landasan terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Brunei dengan Malaysia dari segi pelaksanaan latihan ketenteraan.

“Dalam tempoh dua tahun, kita bergilir (anjurkan latihan ini). Sebelum ini EPC dijalankan di Kuala Belait (Brunei Darussalam) dan kali ini di Malaysia.

Melalui EPC kita berlatih dan cuba belajar pengalaman ketenteraan dari Malaysia,” katanya.

Katanya dijangka lebih 200 anggota TDDB spesifik mortar akan mengikuti EPC di Sabah.