Tentera dikerah bantu mangsa banjir

Tentera dikerah bantu mangsa banjir

CHENNAI, India, 17 Nov (AFP) – India telah menghantar tentera darat dan udara untuk menyelamat penduduk di kawasan yang dilanda banjir di selatan negeri Tamil Nadu, di mana sekurang-kurangnya 71 orang telah meninggal dunia akibat hujan lebat selama seminggu.

Laporan media berkata helikopter tentera digunakan untuk menggugurkan makanan dan air minuman ke kawasan yang paling teruk terjejas, sementara sekolah dan perniagaan di ibu negeri Chennai telah ditutup.

Dua belas kanak-kanak dan 10 orang dewasa dibawa dengan helikopter ke tempat selamat semalam, agensi berita Press Trust of India (PTI) memetik seorang pegawai sebagai berkata. PTI berkata sekurang-kurangnya 71 orang telah meninggal dunia sejak hujan bermula pada minggu lalu, dengan negeri jiran Andhra Pradesh dan Karnataka turut terjejas.

Keadaan kawasan banjir yang melanda India akibat hujan lebat di Chennai. – AFP
Keadaan kawasan banjir yang melanda India akibat hujan lebat di Chennai. – AFP

Ketua Menteri Tamil Nadu Jayalalithaa Jayaram berkata kerajaan sedang ‘berusaha siang dan malam’ untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir, berpunca daripada tekanan rendah siklon yang terbentuk di Teluk Bengal.

Beliau mengumumkan sebuah dana bantuan berjumlah lima bilion rupee, menurut PTI. India mengalami banjir teruk setiap tahun ketika hujan monsun tahunan, yang meliputi benua kecil dari Jun hingga September.

ARTIKEL YANG SAMA