Tentera dikerah kawal rusuhan

Tentera dikerah kawal rusuhan

AHMEDABAD, India, 27 Ogos (Reuters) – Tentera India meronda kawasan yang dibelenggu rusuhan di kampung halaman Perdana Menteri Narendra Modi Gujarat hari ini selepas jumlah kematian meningkat kepada tujuh orang dalam keganasan yang berkaitan dengan kasta.

Pertempuran merebak selepas polis menahan seorang pemimpin muda puak Patel yang memimpin rapat besar pada Selasa untuk menuntut lebih banyak jawatan kerajaan dan tempat di kolej untuk anggota komunitinya.

Kegagalan undang-undang dan ketenteraman mengembalikan kenangan rusuhan serius pada tahun 2002 di mana lebih daripada 1,000 orang, kebanyakan mereka beragama Islam, terbunuh. Modi, ketua menteri Gujarat pada masa itu, telah menghadapi kritikan kerana tidak berusaha untuk menghentikan pertumpahan darah itu.

“Enam pembantah dan seorang pegawai polis telah terkorban dan 18 orang cedera parah,” kata Keshav Shah, pegawai kanan polis di ibu negeri Gandhinagar.

Konvoi tentera India meronda di jalan raya di Ahmedabad, India, pada 27 Ogos 2015. – Reuters
Konvoi tentera India meronda di jalan raya di Ahmedabad, India, pada 27 Ogos 2015. – Reuters

“Sekolah, perniagaan dan pejabat swasta tidak akan dibuka pada hari ini. Suasana adalah tegang dan tidak ada sesiapa yang harus keluar,” kata beliau, menambah perintah berkurung masih berkuat kuasa.

Modi telah meminta ketenangan di negeri yang telah ditadbirnya selama lebih satu dekad sebelum memimpin parti nasionalis Parti Bharatiya Janata (BJP) memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum pada tahun lalu.

Patel, atau komuniti Patidar, membentuk 14 peratus daripada jumlah penduduk di Gujarat. Satu kumpulan yang agak kaya yang terdiri daripada pemilik tanah dan perniagaan, mereka telah menjadi benteng sokongan Modi.

ARTIKEL YANG SAMA