Tentera dituduh bunuh 2 orang awam

BANGKOK, 9 Mac – Seorang pemimpin masyarakat berkata hari ini, mayat dua orang awam yang kali terakhir dilihat dalam tahanan tentera Myanmar telah pun ditemui dalam kubur cetek di Negeri Kachin, di mana pertempuran di antara tentera kerajaan dan kumpulan bersenjata etnik masih diteruskan.

Pemimpin masyarakat Naw Mai berkata dua lelaki etnik Kachin tinggal di kem pelarian di kampung Mai Hkawng dan dibawa pergi oleh tentera pada 31 Januari ketika bekerja di ladang berhampiran. Mayat Hpaugan Yaw, 65 dan Nhkum Naw San, 35, ditemui semalam.

“Kami menemui mayat berhampiran ladang di mana mereka hilang kerana kami mengesyaki mereka mungkin telah dibunuh,” kata Naw Mai.

Kumpulan hak asasi dan keluarga mangsa menuntut siasatan dilancarkan. Pegawai polis negeri Kachin Myo Thura Naung berkata hari ini mereka masih belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya mahu satu siasatan dilakukan dan keadilan ditegakkan untuk abang saya,” kata Nhkum Ji Pa, adik kepada Nhkum Naw San.

Negeri Kachin adalah di mana tentera kerajaan telah bertempur dengan kumpulan bersenjata etnik yang berusaha mendapatkan autonomi untuk penduduk Kachin. Pertempuran telah mengusir lebih daripada 100,000 orang ke kem pelarian di seluruh rantau tersebut.

Tentera Myanmar telah lama dituduh melakukan pembunuhan luar bidang kehakiman, penyeksaan, pekerja paksa, rogol dan penganiayaan lain ke atas kumpulan minoriti etnik.

Pada tahun lalu, tiga lelaki Kachin daripada kem pelarian yang sama ditemui mati setelah ditahan oleh tentera.

Penculikan orang awam di rantau minoriti etnik oleh tentera Myanmar bukan sesuatu yang luar biasa. Kumpulan hak asasi berkata mereka biasanya dibawa oleh tentera yang menuduh mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak bersenjata.

“Penculikan dan pembunuhan orang awam oleh tentera telah lama berlaku dan terdapat orang awam lain yang diculik oleh tentera dan tidak pulang ke rumah,” kata Khon Ja daripada Rangkaian Keamanan Kachin, sebuah pertubuhan tempatan yang membuat dokumen tentang penyalahgunaan hak. – AP