Tentera hormati hasil pilihan raya

Tentera hormati hasil pilihan raya

YANGON, 20 Julai – Ketua tentera berpengaruh Myanmar berikrar akan menghormati hasil pilihan raya bersejarah bulan November dan tidak menolak menjadi presiden jika diminta memegang jawatan tertinggi itu.

“Siapa sahaja yang menang, saya akan menghormati keputusan jika mereka menang dengan adil,” Jeneral Min Aung Hlaing memberitahu BBC dalam temu bual luar biasa dengan outlet berita Barat yang disiarkan hari ini.

“Saya percaya pilihan raya akan bebas dan adil. Itu adalah harapan sebenar kami. Kami komited membantu semampu kami untuk ia menjadi kenyataan,” tambahnya.

Kira-kira 30 juta pengundi dijangka mengundi pada 8 November bagi apa yang dijangkakan pilihan raya paling bebas dalam beberapa dekad.

Myanmar menderita bertahun-tahun di bawah kekejaman, penyisihan dan junta yang terlalu curiga yang bertindak ke atas pihak pembangkang dan memusnahkan ekonomi ketika mengayakan kelompok pegawai-pegawai kanan tentera.

Jeneral Min Aung Hlaing. - Reuters
Jeneral Min Aung Hlaing. – Reuters

Dalam tahun 2011 pemerintahan tentera memberi ruang kepada kerajaan awam kuasi reformis – didominasi oleh bekas-bekas jeneral – yang membawa kepada penarikan balik kebanyakan sekatan Barat dan janji pilihan raya.

Pilihan raya November adalah pilihan raya umum pertama dalam tempoh suku abad yang mana parti Aung San Suu Kyi, Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) turut bertanding, yang dijangka meraih perolehan besar di kotak undi jika pengundian adalah bebas dan adil.

Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai kemajuan demokrasi negara itu.

Tetapi pihak tentera akan terus memegang pengaruh besar politik meskipun pihak pembangkang menang besar dalam pengundian kerana 25 peratus kerusi parlimen negara itu akan terus disimpan untuk pihak tentera.

Para pemerhati berkata pihak tentera meyakini peranannya yang dapat dilihat sebagai pelindung perlembagaan Myanmar yang dibentuk di bawah bekas rejim tentera yang menyekat semua penentang dan meletakkan Suu Kyi di bawah perintah berkurung selama kira-kira 15 tahun.

NLD berikrar akan mengubah piagam untuk mengurangkan peranan tentera dan mengubah peruntukkan yang pada masa ini menegah Suu Kyi dari menjadi presiden kerana dia mempunyai anak kelahiran luar negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA