Tentera Iraq usir IS di Baiji

Tentera Iraq usir IS di Baiji

BAGHDAD/WASHINGTON, 9 Jun (AFP) – Tentera Iraq dan para pejuang militia berjaya mengusir kumpulan Negara Islam (IS) di bandar selatan Baiji tetapi adalah terlalu awal untuk mengisytiharkan kejayaan bagi pihak kerajaan, menurut Pentagon semalam.

Kenyataan tentera Amerika Syarikat mengenai pertempuran di sekitar Baiji mengesahkan dakwaan pada Ahad lepas dari tentera Iraq bahawa pasukan keselamatan meneruskan kemaraan di kawasan yang diduduki IS dan berjaya memasuki pusat bandar.

“Kami bersedia untuk menyatakan bahawa gabungan tentera Iraq sudah pun mara ke bandar Baiji dan memulakan usaha menghapuskan musuh yang berkubu di bandar berkenaan,” kata jurucakap Pentagon Kolonel Steven Warren kepada para wartawan.

Bagaimanapun adalah terlalu awal untuk menyatakan bandar tersebut sudah “dibebaskan”, kata Warren.

Terdapat juga petanda kemajuan yang agak perlahan di kawasan loji penapis minyak di pinggir bandar, yang terbesar di negara tersebut.

Para pejuang dari Pergerakan Popular Iraq mengibarkan bendera pasukan mereka di bandar Baiji, bahagian utara Tikrit, tatkala mereka berjaya merampas semula bandar itu untuk kali kedua pada 8 Jun 2015. – AFP
Para pejuang dari Pergerakan Popular Iraq mengibarkan bendera pasukan mereka di bandar Baiji, bahagian utara Tikrit, tatkala mereka berjaya merampas semula bandar itu untuk kali kedua pada 8 Jun 2015. – AFP

Tentera Iraq yang cuba untuk mempertahankan loji penapis minyak tersebut kelihatannya seperti dikepung oleh kumpulan jihad IS dan terpaksa bergantung pada bekalan yang dihantar dengan pesawat.

Bagaimanapun pasukan keselamatan Iraq berjaya membuka laluan bekalan kepada tentera, menurut Warren.

Pesawat perang diketuai AS melancarkan tiga serangan udara berhampiran Baiji pada Ahad lepas, mengenai sasaran kedudukan kumpulan IS dan tujuh kenderaan musuh, menurut kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA