Tentera Israel cari lelaki bersenjata bunuh pasangan

Tentera Israel cari lelaki bersenjata bunuh pasangan

BEIT FURIK, Wilayah-Wilayah Palestin, 2 Okt (AFP) – Israel menghantar beratus-ratus tentera hari ini untuk memburu lelaki-lelaki bersenjata Palestin yang disyaki, selepas pasangan suami isteri warga Israel dibunuh dalam kereta di hadapan anak-anak mereka di Tebing Barat yang diduduki.

Rabbi Eitam Henkin dan isterinya, Naama Henkin, kedua-duanya berusia 30-an, ditembak mati ketika memandu pada malam semalam antara petempatan Itamar dan Elon More, di utara wilayah Palestin.

Empat orang anak mereka, berusia antara empat bulan dan sembilan tahun, ditemui di tempat duduk belakang kereta tanpa mengalami kecederaan.

Jurucakap tentera Israel Arye Shalicar berkata pasukan keselamatan sedang melaksanakan ‘pencarian intensif’ di kawasan itu, bergabung dengan usaha-usaha perisikan.

Kementerian luar negeri mengatakan keluarga berkenaan pulang dari satu majlis penerimaan ijazah di sebuah sekolah Yahudi apabila penembakan itu berlaku sekitar jam 9 malam.

Keluarga Henkins adalah penduduk petempatan tengah Tebing Barat, Neria, barat laut Ramallah.

Pasangan suami-isteri terbabit telah dikebumikan di perkuburan Har Hamenuhot, Baitulmuqaddis pada pukul 8 pagi tadi.

Di kampung Beitillu, Palestin, yang tidak jauh dari Neria, para penyerang membakar sebuah kereta dan menyembur cat “Revenge Henkin” pada tembok berhampiran, menurut pihak tentera hari ini, dengan mengatakan tidak sesiapa pun tercedera.