Tentera kesan budak hilang di kawasan pergunungan

Tentera kesan budak hilang di kawasan pergunungan

TOKYO, 1 Jun – Ketenteraan Jepun hari ini menyertai usaha mencari seorang budak lelaki berusia tujuh tahun di utara negara sejak ibu bapanya mengatakan mereka telah meninggalkannya di hutan gunung yang dihuni beruang, menurut para pegawai.

Seramai 75 orang kakitangan dari Pasukan Pertahanan Sendiri(SDF) – tentera Jepun – menyertai kira-kira 130 anggota bomba penyelamat, pegawai polis dan para sukarela untuk mencari budak lelaki itu, seorang anggota penyelamat Satoshi Saito memberitahu AFP melalui telefon.

Yamato Tanooka hilang sejak Sabtu lalu selepas ibu bapanya mengatakan mereka telah menyuruhnya keluar dari kereta mereka di jalan raya gunung sebagai hukuman kerana dia berkelakuan tidak baik. Dia dilaporkan tidak berbekalkan air ataupun makanan.

Para penyelamat mengakui ia adalah tugas rumit yang mengecewakan untuk mencari budak lelaki yang hilang, disebabkan ketiadaan bukti diperolehi setakat ini tentang keberadaannya di kawasan pergunungan itu di pulau Hokkaido yang dihuni beruang.

Ibu bapa budak itu pada awalnya memberitahu pihak polis anak lelaki mereka hilang ketika mereka sedang mengembara berjalan kaki untuk mengumpul sayur hutan – tetapi kemudian mengakui bahawa mereka marah dan cuba menghukum anak mereka itu kerana dia telah melontar batu ke arah kereta dan orang lain.

Bandar setempat Nanae meminta bantuan tentera selepas pasukan penyelamat dan pegawai polis telah pun melancarkan usaha mencari di kawasan itu selama empat hari, dengan hujan lebat yang kadangkala turun yang menjejaskan usaha mencari.

“Kami telah meminta SDF pergi ke tempat-tempat yang tidak mudah dimasuki orang seperti jurang dalam glasier, di sepanjang suak,” jurucakap bandar Mitsuru Wakayama memberitahu AFP.

“Kami telah pun mencari di kawasan sama berulang kali,” ujarnya, tetapi menambah kata sukar membayangkan, malah orang dewasa yang hilang dapat berjalan kaki di kawasan luas itu. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA