Tentera Korea Utara menyeberangi sempadan Korea Selatan disiasat

Tentera Korea Utara menyeberangi sempadan Korea Selatan disiasat

SEOUL, Korea Selatan, 29 Sept – Tentera Korea Selatan berkata hari ini seorang tentera Korea Utara telah menyeberangi sempadan di antara kedua-dua negara bermusuhan untuk membelot.

Ketua Turus Tentera Korea Selatan berkata pegawai tentera sedang menyiasat tentera Korea Utara, yang membelot di garisan pemisahan tentera kawasan tengah-timur, yang terletak di dalam Zon Bebas Tentera selebar 4 kilometer yang memisahkan kedua-dua negara. Tentera tidak memberikan butir-butir lain.

Kedua-dua Korea telah berkongsi sempadan yang dikawal paling ketat di dunia sejak berakhirnya Perang Korea 1950-53. Konflik itu berakhir dengan satu gencatan senjata, bukannya perjanjian perdamaian, meninggalkan Semenanjung Korea masih berperang dari segi teknikal.

Meskipun kehadiran tentera yang ramai di sempadan, tentera Korea Utara sekali-sekala mencari ruang untuk menyelinap ke Selatan. Seorang lagi tentera Korea Utara membelot pada Jun tahun lalu selepas menyeberangi garisan pemisahan tentera.

Pos kawalan tentera Korea Utara (belakang) dan Korea Selatan (bawah) dilihat di Paju, sempadan Korea Utara dengan Korea Selatan, kelmarin. – AP
Pos kawalan tentera Korea Utara (belakang) dan Korea Selatan (bawah) dilihat di Paju, sempadan Korea Utara dengan Korea Selatan, kelmarin. – AP

Pada 2012, seorang tentera Korea Utara berjaya berjalan ke selatan pagar kawat duri tanpa ditangkap oleh pengawal, yang membawa kepada kritikan tentang bagaimana tentera Korea Selatan mengawal sempadan.

Lebih daripada 29,000 warga Korea Utara telah membelot ke Korea Selatan sejak berakhirnya Perang Korea, menurut kerajaan Seoul. Kebanyakan mereka sampai ke Korea Selatan selepas berkunjung ke China. – AP