Tentera Laut Diraja Brunei hos IPC

Tentera Laut Diraja Brunei hos IPC

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Persidangan Perancangan Awal (IPC) bagi Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) bagi Eksesais Latihan Sekuriti Maritim (FTX MS), yang dihoskan oleh Tentera Laut Diraja Brunei, bermula hari ini, di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Tanah Jambu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, eksesais ADMM-Plus FTX MS yang dikenali sebagai Eksesais Mahi Tangaroa ’16, dijadualkan akan diadakan pada 11 hingga 16 November nanti yang akan disertai oleh angkatan-angkatan tentera laut dari ADMM-Plus di Auckland, New Zealand.

Latihan itu juga akan menyaksikan upacara International Fleet Review bersempena dengan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja New Zealand ke-75.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa mesyuarat perancangan awal berkenaan telah dipengerusikan bersama oleh Timbalan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Komander Haji Othman bin Haji Suhaili@Suhaily dan Pengarah Asia Kementerian Pertahanan New Zealand, Mike Thompson.

Gambar ramai  menteri-menteri Pertahanan ASEAN yang menghadiri persidangan itu.
Gambar ramai menteri-menteri Pertahanan ASEAN yang menghadiri persidangan itu.

Persidangan dua hari itu dihadiri oleh seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil daripada negara-negara anggota ADMM-Plus dan Sekretariat ASEAN.

Kenyataan menjelaskan bahawa semasa persidangan itu, para peserta diberikan penerangan mengenai eksesais dan juga atur cara bagi aset-aset tentera laut ADMM-Plus apabila ia tiba di Auckland, New Zealand nanti.

Persidangan itu juga membincangkan mengenai struktur organisasi eksesais dan pelbagai perkara yang berhubung dengan logistik eksais serta pentadbiran. Eksesais itu nanti akan merangkumi prosedur operasi standard bagi ADMM-Plus FTX dan juga dokumen bagi Code of Unplanned Encounters at Sea (CUES).

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Negara Brunei Darussalam dan New Zealand merupakan pengerusi bersama bagi pusingan 2014-2017 untuk Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus bagi Sekuriti Maritim (EWG on MS).

Pelan kerja bagi Eksesais Mahi Tangaroa ’16 telah dipersetujui semasa Mesyuarat ADMM-Plus EWG Ke-6 yang didakan di Sdyney, Australia pada Oktober 2013 lalu.

Eksesais Mahi Tangaroa ’16 bermatlamat untuk mempromosikan kerjasama dan saling boleh operasi di antara negara-negara anggota ADMM-Plus dalam menangani ancaman sekuriti global bukan tradisional.

ARTIKEL YANG SAMA