Tentera Laut Indonesia berjaya tangkap suspek rampas Mt Orkim Harmony

Tentera Laut Indonesia berjaya tangkap suspek rampas Mt Orkim Harmony

JAKARTA, 31 Ogos (Bernama) – Tentera Laut Indonesia telah menangkap seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang merampas kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony, lapor sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan.

Akhbar The Jakarta Post yang memetik seorang jurucakap tentera laut Kol M. Zainudin berkata pasukan IV Tindak Balas Cepat Armada Barat (WFQR) menahan seorang suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Albert Yohanes di sebuah apartmen di Grogol Petamburan, Jakarta Barat pada Khamis lepas.

“Albert Yohanes dipercayai menjadi dalang utama di sebalik drama rampasan kapal tangki Malaysia. Kejayaan pasukan itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh memburu seorang daripada yang menjadi sasaran utama dalam senarai orang dikehendaki dalam tempoh sebulan setengah,” kata Zainudin seperti yang dilaporkan semalam.

Suspek itu kini ditahan Polis Tentera Laut (Pomal) di Kelapa Gading, Jakarta Utara untuk disoal siasat sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek akan didakwa di negara ini atau diekstradisi ke Malaysia.

Kapal MT Orkim Harmony dirampas pada 11 Jun ketika berada 30 batu nautika dari Tanjung Sedili di Johor ketika membawa 6,000 tan metrik muatan petroleum RON95.

Kapal tangki tersebut telah dikesan berada di Teluk Siam oleh sebuah kapal peninjau Tentera Udara Diraja Australia yang berpangkalan di Butterworth pada 17 Jun lalu.

Semua lapan lanun terbabit ditangkap Pasukan Pengawal Pantai Vietnam berhampiran Phu Quoc selepas melarikan diri dari kapal terbabit pada 19 Jun.

Petroleum dalam kapal terbabit dimiliki Petronas dan ia dikendalikan oleh Orkim Ship Management. Semasa kejadian kapal itu membawa 22 kru termasuk 16 rakyat Malaysia, Indonesia (lima) dan Myanmar (seorang).

ARTIKEL YANG SAMA