Tentera Libya tawan IS di Sirte

Tentera Libya tawan IS di Sirte

SIRTE, Libya, 4 Ogos – Tentera pro-kerajaan Libya bertempur untuk menawan semula wilayah di kubu kumpulan Islamic State Sirte semalam, tetapi menghadapi tentangan sengit daripada penembak hendap jihad dan jerangkap samar.

Pejuang yang bersekutu dengan Kerajaan Perjanjian Nasional (GNA) Libya, disokong oleh serangan udara AS, berusaha menawan semula bandar pantai, kampung halaman mendiang diktator Muammar Gaddafi – daripada IS yang telah mengawalnya sejak Jun 2015.

Kehilangan Sirte akan memberi tamparan hebat kepada kumpulan jihad itu, yang telah menghadapi beberapa siri halangan di Syria dan Iraq.

“Tentera kami berusaha memperkukuh serangan mereka dengan sokongan daripada serangan udara Amerika yang telah memberikan momentum kepada operasi tentera,” kata Reda Issa, jurucakap tentera yang setia kepada kerajaan perpaduan Libya.

Kapal terbang perang Amerika melancarkan tujuh serangan ke atas kedudukan IS di Sirte pada Isnin dan Selasa atas permintaan GNA, tetapi Issa tidak berkata sama ada serangan selanjutnya berlaku semalam.

Sebuah kenderaan tentera yang digunakan oleh pejuang dari kuasa-kuasa prokerajaan yang setia kepada kerajaan Libya Perpaduan Negara (GNA) dilihat berhampiran selongsong peluru semalam di Sirte dalam satu operasi terhadap kumpulan IS. – AFP
Sebuah kenderaan tentera yang digunakan oleh pejuang dari kuasa-kuasa prokerajaan yang setia kepada kerajaan Libya Perpaduan Negara (GNA) dilihat berhampiran selongsong peluru semalam di Sirte dalam satu operasi terhadap kumpulan IS. – AFP

Tentera GNA telah bertempur untuk menyingkir pejuang jihad, yang merampas kawalan ke atas bandar dalam keadaan kelam-kabut ekoran kejatuhan Gaddafi, sejak 12 Mei. Mereka memasuki bandar pada 9 Jun dan setakat ini telah menawan semula pelabuhan bandar, lapangan terbang antarabangsa dan pangkalan tentera udara dan sebuah hospital.

Namun serangan mereka reda tatkala IS menyerang balas dengan tembakan, bom kereta dan serangan berani mati.

“Terdapat sasaran yang sukar diserang disebabkan mereka terletak di antara rumah,” kata Issa.

“Serangan udara Amerika, yang amat tepat, akan membantu memusnahkan sasaran berkenaan,” tambah beliau. – AFP