Tentera mahu tingkat bajet tiga kali ganda

Tentera mahu tingkat bajet tiga kali ganda

MANILA, 29 Julai (Reuters) – Jeneral-jeneral Filipina hari ini meminta Kongres meningkatkan perbelanjaan tahunan pertahanan sebanyak tiga kali ganda dalam masa lima tahun akan datang bagi menaiktarafkan peralatan di tengah-tengah pertikaian meruncing dengan jiran gergasi, China.

Filipina pada masa ini di tengah-tengah pelan 15 tahun bernilai 998 bilion peso untuk memodenkan angkatan bersenjatanya ketika berhadapan ketegangan meningkat di Laut China Selatan.

“Jurang antara keperluan pertahanan dan tahap inventori semasa terlalu besar untuk diabaikan,” Brigedier Jeneral Guillermo Molina memberitahu satu sidang pendengaran pertahanan kebangsaan di Dewan Parlimen.

“Sebagai satu cara maju ke hadapan, Kongres Filipina mungkin boleh mempertimbangkan mengikat bajet tahunan pertahanan kepada sekurang-kurangnya 2 peratus daripada KDNK tahunan.

Tahun ini, Kongres memperuntukkan 115.8 bilion peso atau kurang daripada 1 peratus KDNK, bagi pertahanan. Tahun depan, kerajaan meminta 129.1 bilion peso. Tentera akan memerlukan 308 bilion peso untuk mendapatkan 2 peratus KDNK yang diinginkannya.

“Membandingkan perbelanjaan tentera Filipina dengan negara-negara jiran kita, Filipina merupakan salah satu yang terendah tahap perbelanjaannya,” kata Molina, menambah keselamatan dirumitkan lagi oleh pendudukan China di Beting Scarborough.

Tidak jelas dari mana wang akan diperoleh. Ahli Kongres Francisco Acedillo, bekas juruterbang tentera udara, mengatakan Dewan Parlimen seharusnya mengkaji cadangan tentera itu.

“Angkanya mengejutkannya, namun negara kita memerlukannya, kita perlu mencari jalan untuk menyokongnya,” dia memberitahu Reuters.