Tentera maut terkena tembakan di mata

Tentera maut terkena tembakan di mata

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu seorang tentera maut akibat terkena tembakan di mata kanan dalam Ops Daulat, operasi untuk mengusir penceroboh Sulu bersenjata di Lahad Datu.

Pegawai Perubatan Batalion Kedua Perubatan di Kem Mahkota di Kluang, Johor, Kapt Dr Ahmad Aizuddin Zubaidi berkata bedah siasat dilakukannya ke atas tubuh Ahmad Hurairah Ismail mendapati si mati mengalami keretakan pada tengkorak dan kecederaan parah pada otak akibat terkena tembakan.

“Kesan cedera akibat kemasukan peluru dapat dilihat pada mata kanan. Punca kematian akibat kecederaan parah di kepala akibat terkena tembakan,” katanya. Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin sama ada beliau menyifatkan kecederaan itu menyebabkan kematian, saksi menjawab: “Ya.”

Pegawai perubatan itu memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan kumpulan Sulu bersenjata di Kampung Tanduo pada February 2013.

Dr Ahmad Aizuddin, yang ketika itu bertugas di Batalion Ketujuh Perubatan, Askar Melayu Diraja di Kem Kubota di Tawau, berkata bedah siasat itu dijalankan pada kira-kira 10.40 malam, 12 Mac, 2013.

Pegawai perubatan itu yang tidak ingat pangkat Ahmad Hurairah dalam tentera, berkata simati, yang ukuran badannya konsisten dengan lelaki berumur 23 tahun, telah terbunuh dalam pertempuran antara platunnya dan penceroboh warga asing di Sungai Nyamuk di Lahad Datu.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.