Tentera Pakatan, Houthi cabul peraturan di Yaman – PBB

Tentera Pakatan, Houthi cabul peraturan di Yaman – PBB

NEW YORK, 5 Ogos – Laporan sulit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merumuskan pakatan antarabangsa diketuai Arab Saudi di Yaman sengaja mengebom rumah yang mengorbankan empat kanak-kanak manakala pemberontak Houthi menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia untuk mengelakkan serangan.

Tindakan itu adalah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menurut laporan oleh panel pakar yang diperoleh AFP.

“Panel mendokumenkan pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang dilakukan tentera Houthi, tentera diketuai Arab Saudi dan tentera yang setia kepada kerajaan sah Yaman,” menurut laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB.

Pakar melakukan siasatan terperinci mengenai empat serangan udara yang dilakukan tentera pakatan, tiga daripadanya masih berterusan.

Dalam kes keempat, enam maut termasuk empat kanak-kanak apabila tentera pakatan mengebom sebuah rumah kampung di wilayah Lahj, pada 25 Mei lalu dengan senjata kawalan tepat.

“Hampir pasti rumah awam itu menjadi sasaran bom berkuasa tinggi itu,” menurut laporan.

Panel merumuskan tentera pakatan itu gagal mengambil langkah berjaga-jaga dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia memulakan kempen udara pada Mac 2015 untuk menewaskan pemberontak Houthi apabila ia menawan Sanaa dan beberapa bahagian Yaman.

Tentera pakatan berulang kali menafikan mereka sengaja menyasarkan penduduk awam dalam perang yang sudah meragut lebih 6,400 nyawa. – AFP