Tentera serang wartawan, pegawai digantung kerja

Tentera serang wartawan, pegawai digantung kerja

BAITULMUQADDIS, 27 Sept (AFP) – Ketenteraan Israel telah menggantung pekerjaan pegawai bertanggung jawab di atas satu kejadian di Tebing Barat yang menyaksikan tentera-tentera menyerang dua orang wartawan AFP, merampas dan memusnahkan peralatan mereka, menurut pihak tentera.

“Pegawai yang bertanggung jawab dalam operasi di kawasan itu telah digantung dari tugas operasinya sehingga diberitahu kelak,” Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata tentang satu kejadian Jumaat lalu.

Lerner berkata langkah itu adalah langkah segera ‘sementara menunggu langkah disiplin seterusnya” ke atas pegawai itu atau tentera lain dan penyiasatan sedang diteruskan.

“Musibah daripada kejadian itu akan menjadi pegajaran bagi tentera Israel,” kata Lerner kepada AFP lewat semalam.

Kedua-dua wartawan AFP itu, Andrea Bernardi, warga Itali dan Abbas Momani warga Palestin membuat liputan berita tentang pertempuran antara tentera Palestin dan tentera Israel di Beit Furik berhampiran Nablus ekoran upacara pengebumian apabila mereka diserang oleh anggota tentera.

Bernardi adalah wartawan video dan Momani adalah jurugambar.

Anggota-anggota tentera mengacukan senjata ke arah mereka dan menolak mereka. Bernardi terjatuh ke tanah dengan lututnya menekan dadanya sehingga dia dapat menunjukkan kad medianya.

Mereka dapat dikenal pasti sebagai wartawan bukan hanya melalui peralatan mereka tetapi juga melalui baju perisai jelas bertanda “Press”.

Mereka sebelumnya dibenarkan memasuki kawasan itu. Tentera-tentera memecahkan kamera video dan kamera, sementara juga merampas satu lagi kamera lain dan telefon bimbit.

Kejadian itu dirakamkan dan dihantar di online oleh syarikat penghasilan tempatan.

Pada petang Jumaat lalu, tentera memberitahu AFP bahawa ia telah mengenal pasti mereka terlibat dan langkah disiplin akan diambil.

Peralatan yang rosak teruk dikembalikan kepada AFP semalam, meskipun tanpa kad memori yang telah disimpan di dalamnya.

AFP dan juga Pertubuhan Media Asing di Israel dan Wilayah Palestin sekeras-kerasnya menyelar serangan itu.