Tentera siasat bebola misteri

Tentera siasat bebola misteri

HANOI, 8 Jan (AFP) – Pihak tentera Vietnam sedang memulakan penyiasatan ke atas kemunculan tiga bebola besi misteri – dipercayai serpihan daripada angkasa lepas – yang jatuh di kawasan terpencil utara negara itu, menurut seorang pegawai tentera kanan hari ini.

Dua bebola besi itu ditemui di barat laut wilayah Yen Bai pada 2 Januari, jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Vo Van Tuan memberitahu AFP.

Kemudian sebiji bebola besar berukuran kira-kira 45 kg jatuh di ladang jagung di negara jiran wilayah Tuyen Quang, katanya.

“Kami masih lagi mengenal pasti dari mana ia datang,” katanya, menambah yang tentera sedang memastikan ia tidak mengandungi bahan letupan atau berbahaya.

Bebola besi itu jatuh dari langit, katanya, telah menakutkan penduduk tempatan.

Gambar yang diambil pada 2 Januari menunjukkan sekumpulan pegawai tentera sedang memeriksa bebola besi yang jatuh di utara wilayah Tuyen Quang. – AFP
Gambar yang diambil pada 2 Januari menunjukkan sekumpulan pegawai tentera sedang memeriksa bebola besi yang jatuh di utara wilayah Tuyen Quang. – AFP

“Sebelum dan selepas objek-objek ini ditemui, tentera Vietnam tidak menjalankan sebarang kegiatan ketenteraan di rantau itu,” kata Tuan.

Para saksi memberitahu media milik kerajaan yang mereka telah mendengar bunyi seperti petir sebelum bola itu jatuh ke bumi.

Kementerian Pertahanan telah menjamin untuk menyiarkan apa-apa penemuan selepas siasatan dijalankan.

Akhbar Thanh Nien mengatakan siasatan awal menunjukkan objek itu mungkin telah dibina di Rusia dan asalnya daripada peluru berpandu atau kapal angkasa.

Nguyen Khoa Son, seorang profesor dari Program Teknologi dan sains Angkasa Vietnam, memberitahu laman berita VietnamNet yang bebola itu mungkin akibat daripada pelancaran satelit yang gagal.

Dia mengatakan bebola itu kelihatannya tidak rosak dan mungkin jatuh dari altitud kurang daripada 100km.

Pada November, tiga objek misteri juga jatuh dari langit mendarat di tenggara Sepanyol.

Menurut NASA, lebih 500,000 keping serpihan pada masa ini mengorbit Bumi, dan cebisan barangan angkasa terjatuh ke planet itu setiap tahun.