Tentera Sudan bertindak kejam

Tentera Sudan bertindak kejam

NAIROBI, 23 Julai – Tentera Sudan Selatan dilapor melanggar dan melenyek sehingga mati orang awam yang melarikan diri daripada keganasan di negara ini dengan menggunakan kereta kebal, merogol gadis dan wanita secara beramai-ramai, dan membakar orang ramai hidup-hidup, menurut satu laporan oleh kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW). Laporan itu yang dikeluarkan hari ini, mendedahkan kekejaman tentera negara itu terhadap orang awam sepanjang 19 bulan perang, sekali gus melakukan jenayah kemanusiaan.

“Tentera yang menaiki kereta kebal, mengejar orang awam yang melarikan diri dan melanggar mereka. Seterusnya, mangsa yang terjatuh akan dilenyek dengan kereta kebal bagi memastikan mereka benar-benar mati,” kata seorang wanita kepada HRW dalam laporan bertajuk ‘They Burned it All’ tersebut.

Serangan itu dipercayai dilakukan tentera kerajaan dan sebuah kumpulan militia dari puak Bul Nuer. Seorang lagi saksi berusia 30-an berkata, dia menyaksikan sendiri bagaimana anak saudaranya dilenyek kereta kebal tentera.

“Saya nampak dia dilenyek sebelum sempat sampai ke dalam sungai. Ketika itu kami lari bersama ke arah sungai untuk menyelamatkan diri. “Saya juga nampak dua mayat saudara lelaki saya seolah-olah digiling,” katanya.

Tentera Sudan yang bertindak kejam menggelek orang awam menggunakan kereta kebal. – Reuters
Tentera Sudan yang bertindak kejam menggelek orang awam menggunakan kereta kebal. – Reuters

Laporan HRW yang dikumpul berdasarkan kenyataan 174 mangsa dan saksi itu turut menyebut, ada antara orang awam termasuk kanak-kanak, dibunuh dengan cara digantung sampai mati, ditembak atau dibakar hidup-hidup.

Dalam laporan tersebut, sebanyak 63 kes rogol direkod, namun HRW percaya banyak lagi kejadian rogol yang tidak didedahkan.

Konflik perang saudara di Sudan Selatan bermula pada Disember 2013 apabila Presiden Salva Kiir menuduh bekas Timbalannya, Riek Machar merancang rampasan kuasa sekali gus mencetuskan pertempuran puak yang mengakibatkan ribuan maut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA