Tentera Syria tawan daerah dikuasai pemberontak

Tentera Syria tawan daerah dikuasai pemberontak

DAMSYIK, 28 Sept – Tentera Syria menawan sebuah daerah yang dikuasai pemberontak di tengah Aleppo kelmarin, beberapa hari selepas melancarkan serangan udara hingga mengorbankan puluhan penduduk dan mencetuskan dakwaan jenayah perang.

Dalam serangan terdahulu selepas mengumumkan rancangan menawan semula semua bandar yang terpisah minggu lalu, tentera pro-kerajaan menguasai semula daerah Farafira di barat laut kubu bersejarah Aleppo, kata sumber tentera kepada AFP.

Kemaraan itu disusuli serangan udara Syria dan Rusia di kawasan kejiranan yang dikuasai pemberontak di Aleppo. Ia dianggap serangan bom terburuk sepanjang konflik lima tahun, selepas perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Moscow dan Washington dicabuli minggu lalu.

Gambar yang disediakan oleh kumpulan Pertahanan Awam Syria yang dikenali sebagai Topi Putih, menunjukkan warga Syria memeriksa bangunan yang musnah selepas serangan udara helikopter kerajaan di kawasan kejiranan Aleppo yang dikuasai pemberontak di Mashhad, Syria, kelmarin. – AP

Kejadian di Aleppo sering mendorong kuasa-kuasa Barat untuk menuduh Rusia melakukan jenayah perang, Kremlin dikutuk atas kejadian itu dan ianya “tidak boleh diterima”. Dalam laporan terkini, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg juga mengutuk kempen udara tersebut.

“Serangan yang mengerikan di Aleppo telah melemahkan kita semua, dan keganasan dan serangan yang kita lihat … dari segi moral sama sekali tidak boleh diterima dan merupakan pelanggaran secara terang-terangan dalam undang-undang antarabangsa,” kata Stoltenberg pada sidang akhbar di Bratislava. – AFP