Tentera Syria tembusi kepungan IS

Tentera Syria tembusi kepungan IS

KWEYRIS, Syria, 11 Nov (AFP) – Tentera Syria menembusi kepungan pejuang jihad lebih setahun ke atas pangkalan udara tentera di utara negara, semalam, mencatatkan kejayaan besar pertama sejak kempen udara Rusia bermula.

Pasukan tentera yang dibantu oleh militia pro kerajaan, menembusi pengepungan kumpulan Islam IS ke atas lapangan terbang tentera Kweyris di wilayah utara Aleppo, kata seorang juruterbang yang bekerja dengan AFP.

Sekumpulan tentera yang menembusi barisan IS di barat lapangan terbang dan sampai kepada pasukan tentera kerajaan di dalam pangkalan, melepaskan tembakan ke udara untuk meraikan.

Para pakar berkata pangkalan itu boleh digunakan oleh pesawat udara Rusia dalam perang udara mereka menentang pemberontak yang memerangi rejim Presiden Bashar al-Assad, membantu usaha mereka untuk menawan semula bandar kedua Syria, Aleppo.

Rusia telah melancarkan serangan udara di Syria dalam membantu Assad pada akhir September lalu, tetapi rejim masih dalam kepayahan untuk mara menentang pasukan penentang dan mendapatkan Kweyris akan menandakan kemenangan besar pertama di kawasan Aleppo.

Tentera Syria meraikan kemenangan di pangkalan udara tentera di wilayah Syria utara Aleppo. – AFP
Tentera Syria meraikan kemenangan di pangkalan udara tentera di wilayah Syria utara Aleppo. – AFP

Tetapi kemaraan berlaku ketika kira-kira 22 orang terbunuh dalam satu serangan mortar yang paling banyak mengorbankan nyawa di kubu pantai rejim itu, di Latakai dalam konflik empat tahun.

Ketika pertumpahan darah berterusan utusan khas PBB bagi Syria menggesa kuasa-kuasa dunia supaya membentuk ‘momentum’ rundingan antarabangsa baru untuk menamatkan konflik, yang telah mengorbankan lebih 250,000 orang.

Kira-kira 20 buah negara dan badan-badan antarabangsa akan mengadakan pertemuan di Vienna pada Sabtu ini untuk mengemukakan rancangan damai bagi Syria yang akan termasuklah gencatan senjata antara rejim Assad dan beberapa kumpulan pembangkang.

Mesyuarat itu mesti ‘membawa beberapa perkara kepada rakyat Syria, dan salah satunya seharusnya mengurangkan keganasan,’ Staffan de Mistura memberitahu para pemberita selepas memberi penerangan ringkas kepada Majlis Keselamatan PBB.