Tentera tambahan dikerah ke Chennai

Tentera tambahan dikerah ke Chennai

CHENNAI, India, 6 Dis – India mengerahkan beratus-ratus anggota tentera dan pekerja bantuan tambahan ke bandar Chennai semalam, tatkala penduduk berkata kerajaan lambat memberi respons kepada keadaan kucar-kacir berpunca daripada hujan paling lebat dalam satu abad.

Kira-kira 280 orang meninggal dunia di seluruh negeri Tamil Nadu sejak ia dibelenggu hujan lebat pada 1 Disember yang menyebabkan sebahagian besar ibu negeri Chennai ditenggelami air sedalam lapan kaki, dan menyebabkan penduduk terperangkap di atas bumbung tanpa komunikasi.

Walaupun hujan sudah berhenti dan lapangan terbang Chennai dibuka sebahagiannya, lebih separuh daripada bandar masih dibanjiri dan beberapa penduduk terperangkap di atas bumbung, terlalu takut untuk mengharungi air, kata pegawai.

“Sesetengah penduduk mempunyai ibu bapa yang sudah tua, mereka tidak mahu menghadapi risiko,” kata M. Vijaykumar, penolong pengarah Perkhidmatan Bomba Tamil Nadu.

Anggota tentera mengagihkan bekalan keperluan harian kepada mangsa banjir di Chennai, India, pada 6 Disember 2015. - Agensi
Anggota tentera mengagihkan bekalan keperluan harian kepada mangsa banjir di Chennai, India, pada 6 Disember 2015. – Agensi

Penduduk berkata pihak berkuasa bandar tidak memberikan amaran bahawa mereka akan membuka takungan yang melimpah ke sungai Adyar, yang membawa kepada kenaikan mendadak paras air.

Vikram Kapur, pesuruhjaya Chennai Corporation, sebuah badan kerajaan yang mentadbir bandar itu, berkata pekerja telah memberi amaran awal kepada penduduk apabila takungan dibuka.

“Pegawai koperasi tempatan, pegawai kerja air dan polis diberikan maklumat untuk menghubungi orang awam,” kata Kapur.

Di Jafferkjanpet dan Vellachery, dua daripada kawasan yang paling teruk terjejas di Chennai, beberapa orang berkata pihak berkuasa hanya muncul dengan bungkusan makanan.

“Kami tidak mempunyai bekalan elektrik, tidak ada susu untuk kanak-kanak,” kata M.A. Sheikh, sambil menuduh kerajaan dan media memberikan gambaran palsu mengenai usaha bantuan. Apabila Perdana Menteri Narendra Modi melawat bandar itu pada minggu ini, beliau mengumumkan bantuan tambahan sebanyak 10 juta rupee untuk operasi bantuan.

Lewat Jumaat, pegawai kanan negeri Tamil Nadu, K.Gnanadesikan, dan rakan sekerja lain berjumpa dengan wartawan untuk kali pertama sejak banjir dan mempertahan operasi bantuan, berkata mereka yang terbabit sedang “melakukan kerja yang bagus di bawah keadaan sukar.”

Chennai telah berkembang sebagai pusat untuk kilang kenderaan dan sumber IT, tetapi parit yang dipenuhi sampah dan pembinaan dasar tasik dalam usaha untuk mencapai perindustrian dan kemakmuran telah menjadikannya mudah terjejas kepada banjir. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA