Tentera tembak kedudukan musuh

Tentera tembak kedudukan musuh

BUTIG, Filipina, 27 Nov – Pasukan tentera hari ini melepaskan tembakan meriam ke arah kedudukan yang dikuasai oleh kumpulan militan Islam di selatan Filipina ketika lebih ramai tentera dikerah menentang kumpulan itu, yang melancarkan pengeboman maut di bandar kelahiran Presiden Rodrigo Duterte.

Pasukan tentera cuba mengusir anggota-anggota kumpulan Maute dari dewan bandar yang ditinggalkan dan kedudukan lain yang telah mereka duduki di Butig, bandar pergunungan terpencil yang penduduknya terutamanya beragama Islam di pulau Mindanao.

Pertempuran meletus semalam antara anggota-anggota Maute, yang mengaku setia kepada kumpulan IS, dan tentera.

Jurucakap pasukan bersenjata Brigedier Jeneral Restituto Padilla merujuk apa yang disifatkannya ‘sumber perisikan’ mengatakan 11 orang militan telah terbunuh dan lima lagi cedera.

Mayat-mayat para pejuang yang terbunuh belum ditemui lagi, ujarnya, dengan menambah kata bahawa dua tentera tercedera.

Tentera Filipina melepaskan tembakan meriam ke arah kedudukan musuh dari pangkalan mereka berhampiran bandar Butig di wilayah Lanao del Sur, pulau selatan Mindanao pada 27 November. – AFP
Tentera Filipina melepaskan tembakan meriam ke arah kedudukan musuh dari pangkalan mereka berhampiran bandar Butig di wilayah Lanao del Sur, pulau selatan Mindanao pada 27 November. – AFP

Para pemberita yang berada di Butig berkata pihak ketenteraan telah mendapatkan gambar-gambar kumpulan Maute mengibarkan bendera hitam IS di bangunan yang diduduki.

Menurut mereka, mereka sendiri tidak cukup dekat untuk mengesahkan ini. Seorang lagi jurucakap tentera, Kolonel Edgard Arevalo, berkata tindakan ini dijangkakan.

“Mereka telah lama mengakui kesetiaan kepada kumpulan ganas asing. Ini masih sebahagian agenda kumpulan Maute dalam memancing sokongan dan menggalakkan individu-individu yang berfikiran serupa untuk menyokong ISIS,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada akronim lain bagi IS. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA