Tentera udara Israel serang Semenanjung Gaza

Tentera udara Israel serang Semenanjung Gaza

BAITULMAQDIS, 15 Sept – Tentera udara Israel menyerang Semenanjung Gaza yang ditadbir Hamas awal hari ini selepas pejuang Palestin melancarkan roket ke selatan Israel, kata tentera.

“Pesawat Tentera Udara Israel menyasarkan tiga kedudukan Hamas di utara Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan tentera.

“Pasukan Pertahanan Israel meletakkan tanggungjawab ke atas Hamas bagi semua serangan dari Semenanjung Gaza.”

Roket dari Gaza mendarat di tempat terbuka di Israel lewat malam tadi tetapi tiada laporan kematian akibat serangan berkenaan. Pada 22 Ogos lalu, Israel menyerang Gaza dengan pesawat dan bedilan kereta kebal selepas roket yang dibedil dari wilayah itu mendarat di Sderot di selatan Israel tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.

Pegawai perubatan Palestin berkata, empat cedera dalam puluhan serangan balas itu yang menyasarkan pangkalan Briged al-Qassam, selain dua kumpulan pejuang kecil lain. Pada 2 Julai, serangan udara Israel telah mengenai empat kawasan di Gaza selepas roket memusnahkan sebuah bangunan di Sderot. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA