Tentera WWII diberi penghormatan

Tentera WWII diberi penghormatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Negara Brunei Darussalam dan Australia memiliki hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah sekian lama terjalin.

Hubungan erat itu bermula sejak pendaratan Tentera Divisyen ke-9 Australia di Pantai Muara pada Jun 1945 sebagai salah satu operasi penting untuk mendapatkan kembali kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Brunei semasa Perang Dunia Kedua.

Pengorbanan dan keberanian anggota Tentera Australia itu terus dikenang dalam Majlis Ulang Tahun ke-70 tahun Pendaratan Borneo Perang Dunia ke-2 (WWII) yang berlangsung di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara, hari ini.

Majlis memperingati pendaratan itu merupakan satu detik penting dalam mengenang jasa ribuan tentera Australia yang turut serta dalam operasi pendaratan pada kira-kira 70 tahun lalu di mana ia merupakan salah satu kempen terakhir yang dilaksanakan semasa perang dunia kedua, jelas Menteri Hal Ehwal Veteran, Senator Michael Ronaldson dalam ucapannya di majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Dato Paduka Haji Mustappa dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan berkenaan.
Dato Paduka Haji Mustappa dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan berkenaan.
Senator Ronaldson ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Senator Ronaldson ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Senator Ronaldson meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan itu.
Senator Ronaldson meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan itu.
Dato Paduka Haji Mustappa mengalu-alukan dan beramah-mesra dengan anggota tentera veteran Australia.
Dato Paduka Haji Mustappa mengalu-alukan dan beramah-mesra dengan anggota tentera veteran Australia.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih mengalu-alukan kehadiran anggota tentera veteran Australia.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih mengalu-alukan kehadiran anggota tentera veteran Australia.

Turut hadir ialah Senator Ronaldson, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan khas serta lapan orang bekas anggota tentera Australia (veteran) yang pernah menyertai pendaratan Borneo Utara berkenaan.

Senator Ronaldson dalam ucapannya lagi menyatakan penghargaan kepada semua anggota tentera yang terlibat dalam operasi berkenaan serta menyatakan bahawa pengorbanan anggota-anggota yang terkorban semasa operasi itu akan terus dikenang.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada anggota tentera Australia yang terus berkhidmat dalam operasi keamanan di rantau Asia dan juga di seluruh dunia serta pada masa yang sama, menghormati pengorbanan tentera yang menyumbang kepada keamanan itu.

Wakil tentera veteran Australia meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan berkenaan.
Wakil tentera veteran Australia meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan berkenaan.
Perwakilan negara-negara sahabat yang hadir di majlis itu.
Perwakilan negara-negara sahabat yang hadir di majlis itu.

pg08_150611_d

Terdahulu daripada itu, TYT Todd Mercer menyatakan pengorbanan dan keberanian kaum lelaki dan wanita yang bergelar anggota tentera terus diingati dan dihormati oleh rakyat, penduduk serta anggota-anggota tentera yang terus berkhidmat di kedua-dua buah negara dengan meneruskan tradisi ANZAC, bagi memperingati perjuangan dan pengorbanan mereka.

Majlis seterusnya menyaksikan Senator Ronaldson dan wakil Tentera Australia yang diikuti oleh Dato Paduka Haji Mustappa dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.

Majlis turut menyaksikan dua kumpulan veteran turut sama-sama meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan berkenaan sambil mendengarkan wakil kumpulan veteran berkenaan, Jack Olsson, memberikan ucapan kenang-kenangannya semasa operasi pendaratan di Pantai Muara pada 1945.

Di majlis itu juga, lagu kebangsaan kedua-dua buah negara turut berkumandang dan menyaksikan Bendera Negara Australia dan Negara Brunei Darussalam dikibarkan di kawasan tugu itu bagi memperingati jasa-jasa anggota tentera yang telah dan terus berjuang serta berkhidmat di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA