Tentera Yaman tawan lapangan Aden

Tentera Yaman tawan lapangan Aden

ADEN, 16 Julai – Pasukan keselamatan Yaman berjaya menawan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan beberapa buah bandar daripada penguasaan pemberontak Houthi, selepas berbulan-bulan menemui jalan buntu untuk menawan semula kawasan tersebut daripada pemberontak.

Penduduk Yaman dalam status yang dimuat naik dalam laman sosial melaporkan, kejayaan pasukan keselamatan itu disambut seperti pesta di beberapa buah bandar di selatan negara ini.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan daerah Khormaksar bebas daripada penguasaan pemberontak Houthi hasil kerjasama antara tentera Yaman, angkatan tentera popular dan tentera negara-negara bersekutu,” kata kerajaan Yaman dalam satu kenyataan.

Stesen televisyen Maseera milik kumpulan pemberontak melaporkan, kepimpinan Houthi mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan terbabit selepas berjaya membunuh anggota kumpulan militan al-Qaeda dan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Beberapa keping gambar yang dikeluarkan oleh pengamal media di selatan Yaman turut menunjukkan kenderaan perisai sedang memantau situasi di jalan-jalan raya di Aden, dengan kebanyakan pertempuran berlaku di kawasan penempatan awam.

Tentera Yaman sokongan Arab Saudi memeriksa kapal Boeing 777 di lapangan terbang antarabangsa Yaman. – Reuters
Tentera Yaman sokongan Arab Saudi memeriksa kapal Boeing 777 di lapangan terbang antarabangsa Yaman. – Reuters

Pertempuran terbaru itu berlaku susulan pembatalan perjanjian gencatan senjata yang dikelola Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penduduk tempatan yang menyokong kepimpinan Presiden Abd Rabbuh Mansour Hadi kini menguasai daerah Khormaksar yang terletak di tengah-tengah Aden, manakala sumber perubatan melaporkan, pertempuran masih berlaku di sekitar kawasan pelabuhan.

Serangan udara tentera bersekutu diketuai Arab Saudi sepanjang minggu lalu juga sedikit sebanyak membantu tentera Yaman menawan semula kawasan yang ditawan kumpulan pemberontak yang mendapat sokongan Iran. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA