Terap kesedaran kesihatan mulut

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018, hari ini, Jabatan Perkhidmatan Pergigian telah mengadakan beberapa aktiviti khusus bagi para pelajar sekolah swasta selama tiga hari di Pusat Pergigian Negara, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Dengan tema sambutan ‘Katakan Ahh: Fikir Mulut, Fikir Kesihatan’ aktiviti itu telah disertai kira-kira 600 murid dari 10 buah sekolah swasta iaitu sekolah yang tidak diliputi dalam Perkhidmatan Pergigian Sekolah-sekolah.

Antara aktiviti yang diadakan oleh jabatan tersebut termasuk panggung pergigian, permainan interaktif, latihan memberus gigi, pemakanan seimbang dan Dentist Role Play.

Penganjuran aktiviti itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan orang berkeperluan khas, selain, menitikberatkan kepentingan mengunjungi klinik gigi bagi mendapatkan pemeriksaan.

Suasana penyertaan murid-murid dari sekolah swasta dalam salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Pergigian Negara sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2018 di negara ini.

Atas usaha tersebut, jabatan berkenaan juga berharap agar program itu dapat memenuhi objektif yang dikenal pasti seterusnya memupuk tabiat baik kebersihan mulut dalam kalangan kanak-kanak dan mendidik mereka agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mulut masing-masing.

Hari Kesihatan Mulut Sedunia dianjurkan oleh badan perwakilan utama untuk profesion pergigian di seluruh dunia di mana FDI World Dental Federation diraikan pada setiap 20 Mac setiap tahun.

Ia disambut di peringkat antarabangsa untuk memperingati manfaat mempunyai mulut yang sihat selain hari penting bagi memberi landasan kepada profesion pergigian untuk menggalakkan kesedaran mengenai masalah kesihatan mulut seterusnya membantu mengurangkan bebanan kesihatan mulut dalam kalangan masyarakat.