Terap nilai & disiplin tinggi

Terap nilai & disiplin tinggi

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei, selaku benteng pertahanan utama negara, perlu kukuh dan berwibawa serta sentiasa dipercayai.

Kewibawaan itu perlu kerana pasukan keselamatan yang disegani itu perlu mempunyai standard keupayaan dan disiplin yang lebih tinggi daripada organisasi lain, kerana amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah besar, luas dan penuh mencabar.

Serentak dengan itu, Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor menekankan, kerajaan juga mengharapkan anggota polis akan terus bertindak tegas dalam menegakkan keluhuran undang-undang tanpa bersikap pilih kasih, selain bersifat mesra rakyat dan berpemedulian kepada orang ramai.

Beliau berucap pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki dan Wanita Skuad 1 Tahun 2015, bertempat di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru anggota polis yang baru supaya akan sentiasa menghayati nilai-nilai murni yang menekankan disiplin yang tinggi, etika kerja yang jujur, bersih, amanah, profesional dan berintegriti.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin ketika memeriksa perbarisan.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin ketika memeriksa perbarisan.

“Sesungguhnya, nilai-nilai teras berkenaan seharusnya menjadi budaya selama mana mereka dalam perkhidmatan pasukan,” tegasnya, sambil mengingatkan bahawa tugas sebagai seorang anggota polis adalah satu tanggungjawab yang berat dan mencabar.

Adalah dijangkakan dengan bermacam-macam cabaran, karenah serta masalah yang perlu ditangani dan apa yang mustahak ialah mereka mesti menjalankan tugas mengikut kuasa atau kehendak undang-undang dan peraturan-peraturan negara yang bertulis sepertimana yang telah ditunjuk ajar sewaktu di Pusat Latihan Polis, tambah beliau lagi.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin juga melahirkan harapan supaya para ibu bapa dan penjaga serta kaum keluarga akan terus memberi rangsangan dan motivasi untuk memastikan anak-anak mereka terus menjalankan tugas dengan tekun dan bertanggungjawab.

(ATAS & BAWAH): Kursus Tamat Latihan Rekrut Lelaki dan Wanita Skuad 1/2015 berjalan lalu dalam rentak perlahan dan cepat.
(ATAS & BAWAH): Kursus Tamat Latihan Rekrut Lelaki dan Wanita Skuad 1/2015 berjalan lalu dalam rentak perlahan dan cepat.

pg08_160520_c

Beliau percaya dengan sokongan dan dorongan keluarga, konstabel-konstabel baru berkenaan akan terus bertugas dengan gigih dalam sama-sama menjaga keamanan negara.

Pada masa yang sama, berharap agar ibu bapa dan penjaga akan terus bekerjasama dengan Pasukan Polis Diraja Brunei dengan memberikan maklumat-maklumat pencegahan jenayah dan mengikuti program-program yang dikendalikan oleh Polis Diraja Brunei seperti program pengawasan kejiranan kampung.

“Ini sangat penting kerana, kerjasama orang ramai adalah tunggak utama dalam kegiatan pencegahan jenayah di kawasan setempat. Ini adalah disebabkan penduduk setempat lebih mengetahui kawasan mereka dengan lebih terperinci dan juga lebih mengenali penghuni di dalam kawasan mereka.

“Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar para ibu bapa serta kaum keluarga akan terus menyokong aktiviti berkenaan yang menjurus kepada strategi pengurangan kadar jenayah,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA