Terap nilai keperibadian Muslim

Terap nilai keperibadian Muslim

Oleh Mohamad Asyramiyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Perkhemahan Belia Harapan 3 yang diadakan selama empat hari bermula 4 Disember lalu di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong telah melabuh tirainya hari ini.

Perkhemahan dengan tema ‘Tujuan Kehidupan’ itu disertai kira-kira 170 orang belia dan beliawanis yang terdiri daripada ahli Kumpulan Belia Syababurroja Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan para penuntut sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada majlis penutupan itu berkata, perkhemahan ini merupakan projek tahunan Kumpulan Belia Syababurroja Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah sempena cuti persekolahan sebagai salah satu kaedah membantu ibu bapa dalam pengisian aktiviti percutian anak masing-masing menerusi program yang bermanfaat.

“Program ini diadakan untuk menerapkan nilai keperibadian Muslim dalam diri para peserta supaya menjadi insan yang berakhlak mulia terutama dalam menghadapi era globalisasi kini,” ujarnya.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada salah seorang peserta dan AJK Perkhemahan Belia Harapan 3.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada salah seorang peserta dan AJK Perkhemahan Belia Harapan 3.
Perwakilan peserta mengongsi pengalamannya dalam perkhemahan kali ini.
Perwakilan peserta mengongsi pengalamannya dalam perkhemahan kali ini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sementara itu, Pemangku Pegawai Ugama Kanan masjid berkenaan, Haji Haris bin Haji Suboh pula berkata, program ini juga bertujuan untuk mendekatkan diri dan memakmurkan masjid dalam kalangan belia melalui aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan berfaedah bagi pembangunan jati diri para belia sebagai insan yang beriman dan bertakwa.

Menerusi perkhemahan tersebut, para peserta didedahkan kepada program yang menjurus kepada melahirkan belia berilmu, bertanggungjawab, prihatin dan berbakti kepada agama, raja, bangsa dan negara melalui forum, perkongsian pengalaman hidup yang diselia oleh Bahagian Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara.

Haji Haris turut menyatakan perasaan berbesar hati-nya melihat komitmen para peserta dengan menyertai dan melibatkan diri dalam aktiviti yang disusun serta memberikan kerjasama dalam melancarkan program perkhemahan yang dianjurkan buat kali ke-3 itu.

“Saya berharap supaya para peserta akan mampu menghadapi cabaran dan rintangan dalam hidup dan menggunakan pengalaman perkhemahan ini sebagai salah satu usaha melahirkan belia dan beliawanis sebagai pemimpin berkaliber pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Sejurus selepas ucapan pengerusi majlis perwakilan, wakil peserta Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhd Suhaimi turut menyampaikan ucapannya diikuti dengan penutupan rasmi Perkhemahan Belia Harapan 3 oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis dimeriahkan dengan barisan persembahan oleh para peserta perkhemahan, antaranya berformatkan sketsa, pembentangan slaid, nyanyian lagu tema ‘Matlamat Hidup’ dan deklamasi sajak bertajuk ‘Bagaimana’ yang kemudiannya diikuti dengan pengumuman Belia dan Beliawanis Harapan Tahun 2015. Penyampaian hadiah kepada Belia dan Beliawanis Harapan serta sijil kepada para peserta dan ahli jawatankuasa (AJK) perkhemahan kali ini disempurnakan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA