Terap nilai-nilai murni

Terap nilai-nilai murni

Oleh Hajah Saemah Kefli

 

KUALA BELAIT, 1 Sept – Inspirasi inovasi dan kreativiti dalam menyampaikan serta menerapkan nilai-nilai murni dan teras bagi membentuk watak sihat selain untuk membangun kemahiran memohon kerja adalah antara beberapa objektif Program Membina Kemahiran selama empat hari yang disertai oleh 90 orang Pelajar Akademi Maritim Brunei (BMA).

Program yang disertai pelajar-pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Pengajian Nautika ini dihasratkan dapat melahirkan pelajar yang mempunyai sikap menghormati, bertanggungjawab, berdisiplin, adil, penyayang, rajin dan sihat.

Untuk mencapai objektifnya, pelbagai aktiviti telah disusun rapi seperti kempen kebersihan pada hari pertama dan bengkel Fardu Kifayah yang menunjukkan cara-cara pengurusan jenazah dan pengebumian orang-orang Islam, pada hari kedua, hari ini.

Bengkel juga mengajar para pelajar cara mengerjakan solat jenazah.
Bengkel juga mengajar para pelajar cara mengerjakan solat jenazah.

Ketua Bahagian Pendidikan Islam dan Guru Ugama MKJB, Hajah Siti Faridah binti Haji Ahmad ketika ditemui berkata bengkel itu dihasratkan untuk meningkatkan jati diri pelajar dan berani tampil, serta memberikan mereka ilmu dalam pengurusan jenazah, kerana yang paling utama menguruskan jenazah adalah kalangan ahli keluarga itu sendiri.

Untuk hari terakhir para peserta akan dibawa melawat sambil belajar ke beberapa kawasan yang berkaitan dengan program.

Program anjuran Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Ugama sebelum bermulanya cuti semester minggu depan itu antara lain juga bertujuan untuk mendidik para pelajar kepada penerapan ilmu dalam kehidupan yang jarang diajarkan di dalam kelas biasa.