Terap pendidikan alam semula jadi

Terap pendidikan alam semula jadi

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 10 Sept – Kumpulan Entomologi (Serangga) yang membuat kajian mengenai nandung telah diumumkan sebagai pemenang Program Naturalis Muda 2015, sekali gus merangkul piala Program Naturalis Muda Taman Warisan Tasek Merimbun.

Penyampaian hadiah di majlis penutup yang berlangsung di Balai Purun, Taman Warisan Tasek Merimbun pagi tadi, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Program Naturalis Muda merupakan program pembelajaran di lapangan yang menerapkan nilai-nilai pendidikan alam semula jadi dan kaitannya dengan persekitaran serta kebudayaan di Tasek Merimbun.

Kurator Ilmu Kejadian di Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali menjelaskan, program yang diadakan buat kali ketiga ini dikendalikan oleh Jabatan Muzium-Muzium dan sejak ia diadakan, sebanyak 14 buah sekolah menengah dari seluruh negara telah menyertainya.

Salah satu objektif program adalah untuk menjalinkan hubungan silatu-rahim dalam kalangan peserta yang mana program ini disasarkan kepada penuntut-penuntut Tahun 10 yang tidak semestinya berlatar belakangkan aliran sains.

Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali semasa menyampaikan penjelasan mengenai Program Naturalis Muda ke-3, kelmarin.
Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali semasa menyampaikan penjelasan mengenai Program Naturalis Muda ke-3, kelmarin.
Datin Paduka Hajah Adina menyerahkan piala kemenangan kepada Kumpulan Entomologi (Serangga).
Datin Paduka Hajah Adina menyerahkan piala kemenangan kepada Kumpulan Entomologi (Serangga).
Antara kumpulan yang menyertai dan menyampaikan pembentangan mereka kelmarin.
Antara kumpulan yang menyertai dan menyampaikan pembentangan mereka kelmarin.

Yang Amat Mulia juga menjelaskan bahawa program-program sebelum ini telah menemukan pelbagai spesies flora dan fauna yang belum pernah ditemui di Taman Warisan Tasek Merimbun.

“Sehubungan dengan penemuan-penemuan tersebut, tidak mustahil Program Naturalis Muda mampu merungkai pelbagai biodiversiti di taman ini walaupun diadakan dalam keadaan tempoh yang singkat.

“Bersandarkan data-data penemuan yang dinyatakan, Program Naturalis Muda mampu menyerlahkan biodiversiti di Taman Warisan Tasek Merimbun yang membuktikan keunikan negara kita sebagai habitat yang asli dan terkawal bagi kedudukan flora dan fauna,” jelas Yang Amat Mulia lagi.

Pada tahun ini, program berlangsung selama enam hari bermula 5 hingga 10 September, melibatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar al-Khattab, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Maktab Anthony Abell, yang mana mereka dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Ornitologi (Burung), Mamalogi (Mamalia), Herpitologi (Ampibia dan Reptilia) serta Entomologi (Serangga) yang mana kumpulan ini dipecahkan kepada dua bidang kajian serangga iaitu nandung dan labah-labah.

Aktiviti-aktiviti program yang dijalankan meliputi asas-asas penyelidikan dalam bidang ilmu kejadian yang merangkumi kerja-kerja teori, amali, demonstrasi dan kerja-kerja lapangan.

Melalui program itu, ia diharap melahirkan golongan belia yang mempunyai jati diri yang asli sebagai pemangkin dalam mempertahankan, melindungi dan memelihara khazanah alam semula jadi yang menjadi aset kebanggaan negara pada masa depan.