Terap pengajaran efektif

Terap pengajaran efektif

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 4 Mac – Kira-kira 50 orang guru dan pegawai pendidikan dari sekolah-sekolah menengah Kluster 6 Daerah Belait, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Panaga di Seria untuk menghadiri Persidangan Mini Pembangunan Profesional untuk Guru-Guru.

Lawatan dan persidangan sehari ini melihat peserta-peserta mengikuti bengkel sesi mengajar, di mana kertas-kertas kerja dibentangkan oleh guru-guru Sekolah Panaga Seria sendiri.

Dalam temu bual bersama pengetua sekolah itu, Tim Robinson berkata, setiap bengkel dibantu oleh seseorang (tenaga pengajar) yang mempunyai pengalaman menyampaikan kemahiran pengetahuan dan pemahaman yang diperlukan untuk berjaya memenuhi matlamat sesi, terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Penyelaras bengkel mempunyai pelbagai pengalaman dalam pengajaran di bilik darjah, sokongan pakar dan kepimpinan sekolah. Yang penting, guru-guru ini semua berkongsi tanggungjawab harian mereka di sekolah-sekolah dan boleh menawarkan panduan yang praktikal dan nasihat dalam cara untuk menyampaikan maklumat yang berguna kepada murid-murid secara mudah,” jelasnya lagi.

Guru-guru Kluster 6 bergambar ramai bersama Tim Robinson.
Guru-guru Kluster 6 bergambar ramai bersama Tim Robinson.

Beliau menambah bahawa pembangunan profesional sentiasa memberikan peluang kepada peserta-peserta untuk memikirkan tentang amalan pengajaran subjek mereka sendiri dalam kelas dan dari sini mereka diharap akan dapat mempelajari dan mengambil serba sedikit pengetahuan daripada rakan-rakan mereka di sekolah lain.

Dalam bengkel tersebut, guru-guru mengikuti tiga sesi bengkel iaitu Penilaian untuk Pembelajaran (AFL), yang mana Pelan Strategik Kementerian Pendidikan adalah untuk menggalakkan penggunaan AFL dalam semua bilik darjah. Bengkel ini akan menyediakan guru-guru dengan pengetahuan kerja berkaitan penggunaan AFL dalam bilik kelas. Sesi kedua pula adalah bagi pembangunan ‘Fine-Motor Skills’ murid-murid untuk melihat perkembangan kemahiran mereka melalui proses penulisan awal.

Manakala itu, sesi ketiga melihat kemahiran murid-murid dalam perkembangan pemikiran mereka di mana sesi ini memberikan idea yang praktikal tentang bagaimana untuk membangunkan kemahiran pemikiran murid-murid dalam mencabar mereka berfikir dan mempersoalkan idea.

ARTIKEL YANG SAMA