Terap teknologi dalam pengajaran

Terap teknologi dalam pengajaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kementerian Pendidikan telah melalui dan berkembang dengan pesat dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajarannya menerusi inovasi pendidikan.

Inovasi pendidikan merupakan salah sebuah platform yang menyediakan pendidikan berkualiti yang harus dikongsi oleh semua institusi pendidikan swasta, awam, aliran utama dan juga aliran khusus, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, kelmarin.

Inovasi dalam pendidikan antara lain merangkumi pembelajaran digital di mana ia merupakan mana-mana jenis pembelajaran yang dipermudahkan dengan penggunaan teknologi atau pengajaran yang menggunakan teknologi secara efektif, jelasnya lagi ketika berucap di Perasmian Simposium Antarabangsa bagi Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif Politeknik Brunei ke-2 yang berlangsung di Universiti Brunei Darussalam.

Beliau berkata lagi bahawa inovasi dalam pendidikan terjadi dalam semua bidang pembelajaran yang merangkumi sebahagian besar amalan pengajaran termasuk pembelajaran berasaskan permainan digital dan alam maya, akses kepada perisian digital, pembelajaran bersama secara setempat atau global, penilaian dan laporan secara dalam talian, penyertaan aktif di dalam komuniti dalam talian serta penggunaan teknologi untuk menghubungkan, bekerjasama dan menjana idea baru.

Yang Berhormat Pehin menekankan pentingnya inovasi dalam pendidikan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang berguna supaya mereka boleh menangani cabaran-cabaran kehidupan di abad ke-21.
Yang Berhormat Pehin menekankan pentingnya inovasi dalam pendidikan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang berguna supaya mereka boleh menangani cabaran-cabaran kehidupan di abad ke-21.

Dalam konteks itu, pendidikan melalui teknologi pembelajaran digital harus berkembang dan berubah menerusi inovasi dan disasarkan untuk membantu para pelajar dalam menangani cabaran perubahan teknologi, tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

“Pelajar pada masa ini harus berdikari dan dilengkapi dengan kemahiran menyelesaikan masalah, menjadi pemikir yang kreatif dan mampu untuk berfikir di luar norma kehidupan. Paling penting, mereka harus inovatif dan bersedia untuk menghadapi masa depan.”

Yang Berhormat Pehin juga berkata bahawa adalah penting bagi amalan pendidikan menggunakan perkembangan dalam teknologi baru untuk memperkasakan lagi pengalaman pembelajaran para pelajar kerana menerusi teknologi, kita boleh mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai budaya-budaya lain di seluruh dunia serta menjalin hubungan dengan budaya lain di luar daripada ruangan bilik darjah yang kini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan peranti IT yang sedia ada.

“Inilah yang kita maksudkan dengan pembangunan dalam teknologi masa kini. Semua ini bukannya berlaku pada masa hadapan tetapi berlaku sekarang.”

Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa pihak yang berkenaan harus menawarkan gabungan pelbagai jenis teknologi daripada pelbagai jenis alat IT yang terdapat pada masa ini di mana para pelajar perlu mempunyai pilih untuk menggunakan mana-mana teknologi baru yang mencabar diri mereka melalui pembelajaran berasaskan cabaran untuk menggunakan teknologi secara berkesan serta untuk membina kemahiran berfikir dan pembangunan diri mereka.

Penggunaan pelbagai jenis peranti IT juga memberikan peluang kepada para pelajar untuk membuat pilihan gabungan pelbagai jenis teknologi yang berkesan bagi diri mereka untuk mendapatkan pembelajaran yang terbaik dan efektif bagi diri mereka.

“Kita sekarang berada dalam dunia pendidikan di mana kita bukan sahaja perlu berhubungan dengan seorang pelajar muda abad ke-21 tetapi kita tidak dapat melaksanakan perkara itu tanpa penggunaan teknologi.”

Kepercayaan pada masa ini, ulas Yang Berhormat Pehin, ialah jika kita mahu anak-anak kita untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan, ia adalah menerusi teknologi yang membolehkan mereka untuk meneroka pelbagai bidang pembelajaran yang jauh menjangkau ruangan di luar batasan kurikulum sekolah yang terhad.

Yang Berhormat Pehin juga berkata bahawa pendidikan itu merupakan satu usaha jangka panjang di mana dalam mempersiapkan para pelajar, pihak yang berkenaan harus merangka kurikulum dan teknik serta amalan pengajaran yang inovatif di mana ia mampu menghadapi dan berubah mengikut perkembangan dalam teknologi serta terus memberikan inspirasi kepada para pelajar bagi menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21.

Perkara itu dapat dilaksanakan dengan pengajaran kemahiran sepanjang hayat di mana perisiannya berpegang teguh kepada nilai-nilai yang termaktub dalam falsafah negara, Melayu Islam Beraja, yang harus diserap di semua peringkat pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA