Terap wasatiah dalam kehidupan generasi muda

Terap wasatiah dalam kehidupan generasi muda

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Konsep wasatiah perlu diterapkan dalam kehidupan generasi muda supaya mampu menguatkan keyakinan mereka terhadap Islam dan menjadikan mereka generasi yang berakidah, bersyariah dan berakhlak menurut landasan Islam sebenar.

Penerapan itu penting kerana generasi muda dianggap sebagai aset dan pewaris negara yang berperanan penting dalam mencorakkan bentuk, nilai dan gaya hidup masyarakat sesebuah negara pada masa akan datang.

Hujah itu adalah antara isi pembentangan kertas kerja bertajuk Pengalaman-pengalaman Praktikal Dalam Memperkasa Prinsip Wasatiah Di Kalangan Generasi Muda oleh Pensyarah Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Noralizam bin Haji Aliakbar pada hari ketiga Seminar Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Menurutnya, dalam zaman moden ini, pelbagai cabaran dihadapi terutama oleh generasi muda dalam memahami dan mendalami tentang Islam, dan dalam kertas kerjanya beliau berkata, wasatiah bermaksud keadilan, pertengahan, kesederhanaan, tidak melampau dan pilihan terbaik.

Beliau menjelaskan, konsep wasatiah telah dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W dan ia menjadi pegangan para sahabat serta diwarisi oleh umat Islam masa kini sebagai aliran perdana dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Dalam perbincangan itu, Dr. Noralizam juga membincangkan ciri wasatiah dalam beberapa peringkat dan fasa kehidupan, antaranya wasatiah dalam beragama yang mana Rasulullah S.A.W mengingatkan umatnya agar tidak keterlaluan dalam melakukan ibadat sehingga mengabaikan tuntutan fitrah jasmani.

Manakala itu, wasatiah dalam menunaikan hak pula, Baginda Rasulullah S.A.W melarang tabiat melampau dalam menunaikan ibadat sehingga mengabaikan hak-hak yang perlu ditunaikan, sama ada hak diri, keluarga atau masyarakat.

Beliau juga menerangkan peranan wasatiah dalam memahami konsep jihad yang menurutnya jihad mempunyai konsep luas iaitu memerangi hawa nafsu buas manusia, memerangi kemiskinan dan kefakiran, kejahilan dan kemunduran.

Para ulama meluaskan maksud jihad kepada perjuangan menaikkan martabat umat Islam dalam bidang akademik, sosial dan politik sementara berusaha dan bekerja yang bermatlamatkan kebaikan juga merupakan jihad di jalan Allah.

Dr. Noralizam juga menjelaskan mengenai konsep wasatiah dalam memenuhi tuntutan dunia yang menggabungkan antara dua kebaikan iaitu dunia dan akhirat dengan menjadikan dunia sebagai ladang bagi akhirat kerana membangunkan dunia dikira satu ibadah tanpa melupakan suruhan agama.

Turut dibincangkan ialah konsep wasatiah dalam menuntut ilmu, yang menurut Dr. Noralizam lagi, sumber ilmu dalam Islam adalah Al-Quran dan Sunnah kerana ilmu duniawi dan ukhrawi sama penting dan terdapat pula ilmu Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah.

Beliau berpendapat bahawa menuntut ilmu dalam Islam akan menjadikan seseorang itu Muslim yang bertakwa, berakhlak mulia dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

Ini kerana, tujuan menuntut ilmu dalam Islam adalah untuk memerangi kejahilan di samping meningkatkan tamadun dan peradaban umat itu sendiri.

Sehubungan itu, KUPU SB berperanan menerap dan memperkasakan prinsip wasatiah dalam kalangan pelajarnya yang majoritinya generasi muda .

Ke arah itu, KUPU SB menyediakan kurikulum yang bersifat integrasi dan memberikan asas kekuatan jiwa dan kemantapan rohani sebagai rujukan dan model peranan serta didedahkan kepada perkhidmatan kemasyarakatan dan persekitaran penghidupan sebenar.

Kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Noralizam itu adalah antara enam kertas kerja yang dibentangkan pada hari terakhir dan 14 kertas kerja yang dibentangkan sepanjang berlangsungnya Seminar Majlis Ilmu 2015 yang bermula sejak 9 November 2015.

ARTIKEL YANG SAMA