Terapi pemulihan strok

Terapi pemulihan strok

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Seramai 11 pesakit luar Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), hari ini, telah dibawa mengikuti aktiviti luar ke Medan Selera Jerudong Park sebagai sebahagian daripada aktiviti penghujung Program Bintang Hati yang diperkenalkan oleh Unit Terapi Cara Kerja, Pusat Pemulihan dan Strok Neurosains Brunei (BNSRC), JPMC, tahun ini.

Menerusi aktiviti itu, para pesakit yang pernah mengalami strok berkenaan telah dibawa untuk berkomunikasi dan menempah makanan mereka dengan dibantu oleh ahli daripada Unit Terapi Cara Kerja dan Pembantu Pemulihan di De’ Coral Restaurant.

Program yang baru pertama kali diadakan tahun ini itu, telah disertai oleh seramai 61 orang pesakit luar yang dibahagikan kepada empat kumpulan. Melalui program ini, para peserta perlu menyelesaikan lapan sesi yang mengambil masa tujuh bulan, bagaimanapun hanya 11 yang dibawa menyertai aktiviti luar di Medan Selera Jerudong Park.

Aktiviti luar berkenaan bertujuan untuk melatih dan mempraktikkan apa yang dipelajari daripada lapan sesi dalam program tersebut, malah mereka juga dapat saling berkongsi pengalaman dan mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Selain itu, ia juga menyediakan beberapa permainan terapeutik khas untuk pesakit-pesakit agar mereka meluangkan masa mereka dengan gembira.

Gambar ramai peserta-peserta Program Bintang Hati bersama ahli-ahli Unit Terapi Cara Kerja dan Pembantu Pemulihan.
Gambar ramai peserta-peserta Program Bintang Hati bersama ahli-ahli Unit Terapi Cara Kerja dan Pembantu Pemulihan.
Salah seorang peserta Program Bintang Hati dibantu oleh ahli Unit Terapi Carakerja untuk menempah makanan mereka sendiri.
Salah seorang peserta Program Bintang Hati dibantu oleh ahli Unit Terapi Carakerja untuk menempah makanan mereka sendiri.

Program ini telah menerima maklum balas positif dan para peserta amat menyukai program itu sebagaimana yang dinyatakan oleh salah seorang peserta, Haji Abu Bakar.

Menurutnya, program itu seperti acara hari keluarga yang mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Manakala itu, isteri Haji Ma’arof, yang merupakan salah seorang pesakit luar JPMC, menyatakan program itu yang menawarkan beberapa aktiviti luar yang membantu mereka berkomunikasi bersama orang lain di samping dapat mengelakkan rasa bosan dan tekanan emosi di rumah.

Matlamat utama program ini adalah untuk membiasakan bekas pesakit strok berkenaan dengan dunia luar serta meyakinkan tahap sosial mereka bersama orang di sekeliling selain dapat membiasakan mereka dengan kehidupan luar serta memperbaiki kehidupan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA