Terapi senaman boleh rawat penyakit, kata pakar

Terapi senaman boleh rawat penyakit, kata pakar

KUALA LUMPUR – Terapi senaman semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan yang baik tetapi juga untuk merawat empat penyakit utama bukan berjangkit (NCD). Menurut Dr Lee Chee Peng, pakar terapi senaman, terapi senaman itu mempunyai potensi sebagai alternatif kepada perubatan konvensional untuk mencegah NCD.

NCD yang beliau maksudkan ialah hipertensi, diabetes, obesiti dan ‘dyslipidemia’ menerusi preskripsi terapi senaman yang betul.

“Terapi senaman telah dibukti dapat menghasilkan perubahan positif pada tubuh badan manusia sekiranya dilaksanakan dengan cara yang betul.

“Ini adalah rawatan yang terbukti berkesan menerusi kajian perintis serta penyelidikan sejak 10 tahun lalu,” beliau memberitahu Bernama dalam wawancara eksklusif.

Sementara itu, Dr K. Kumaraguru, pakar bedah perunding Hospital Kuala Lumpur berkata terapi senaman boleh menjadi alternatif kepada perubatan konvensional kerana ia tidak mempunyai kesan sampingan. Terapi seumpama itu membantu membentuk gaya hidup yang sihat menerusi kegiatan fizikal.

“Terapi seumpama ini mampu menjangkau masyarakat keseluruhannya. Ini adalah selaras dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara yang sihat menjelang 2020,” katanya.

Klinik senaman pertama di Malaysia

Menurut Dr Lee, Malaysia akan mempunyai klinik senamannya yang pertama menjelang Disember ini. Klinik itu, katanya, akan menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk membantu mencegah penyakit kronik.

Beliau berkata klinik yang menelan kos RM2 juta itu adalah inisiatif Datuk Seri Jessy Lai, Ketua Pegawai Eksekutif, perbadanan multinasional, MonSpace dan akan dibuka di Bukit Jalil.

Klinik itu akan menawarkan terapi senaman yang dikendalikan sepenuhnya oleh komputer bagi merawat mereka yang baru mengalami NCD dengan jumlah senaman yangsesuai.

“Terdapat rancangan untuk menubuhkan 20 klinik senaman menjelang tahun 2017 dengan enam hingga lapan ahli terapi membantu pesakit di setiap klinik, ” kata Dr Lee.

Menurut beliau berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan(NHMS) 2015, kira-kira 5.6 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas menanggung masalah lebihan berat badan dan 3.3 juta rakyat Malaysia yang lain adalah obes atau sangat gemuk.

Statistik 2015 juga menunjukkan kira-kira 3.5 juta rakyat Malaysia menderita kerana diabetes,6.1 juta pula menghidap hipertensi dan 9.6 juta mengalami kolesterol tinggi.

“Pembukaan klinik senaman ini dilihat sesuai dengan aspirasi negara mempunyai lebih ramai rakyat yang sihatmenjelang 2020,” katanya.

Dr Lee berkata Raja Datuk Seri Yong Sofia AlmarhumSultan Azlan Shah berkenan menyempurnakan pelancaran awal klinik senaman ini di satu majlis di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 4 Nov lepas.

Beliau menambah Asia College of Exercise And Sports Medicine di Setia Alam, Shah Alam, akan menawarkan kursus peringkat diploma dalam Sains Senaman (Terapi Senaman) bagi menampung keperluan klinik itu.

Sementara itu, Jessy Lai berkata kaedah merawat pesakit menerusi senaman telah mendapat sambutan yang baik di kalangan masyarakat antarabangsa. Ini adalah kerana senaman adalah komponen penting untuk kesejahteraan fizikal serta mental pesakit yang kronik.

Perlu lebih ramai ahli terapi senaman

Malaysia memerlukan lebih ramai ahli terapi senaman kerana terapi jangka panjang terbukti dapat membantu mencegah NCD yang kronik.

“Semakin banyak bukti menunjukkan senaman adalah bentuk perubatan pencegahan paling berkesan.

“Untuk itu perlu ada kempen kesedaran di peringkat negara untuk mempromosi kepentingan menjadikan senaman satu tabiat harian sama seperti tabiat makan dan tidur,” kata Dr Lee.

Dr Lee berkata terdapat hanya 30 orang ahli terapi senaman di negara ini pada tahun 2015. Daripada jumlah itu, tujuh adalah dengan Kementerian Kesihatan dan 23di bawah tajaan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian ini berjaya menjalankan kajian perintis mengenai sains senaman di tujuh buah klinik kesihatan kerajaan pada 2012 dan 2013,” kata Dr Lee. – Bernama