Terapkan budaya suka berubah

Terapkan budaya suka berubah

Oleh Sim Y. H. dan Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan penjawat-penjawat awam supaya menerapkan ‘budaya suka berubah’ kerana tanpanya, agensi-agensi kerajaan tidak akan dapat memperkemas kerja masing-masing ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

Baginda juga mahu warga perkhidmatan awam mempelopori langkah berjimat cermat di samping meningkatkan komitmen dan usaha memajukan negara untuk hari ini dan juga untuk masa depan anak cucu kita.

Baginda turut menekankan mengenai budaya kerja yang mementingkan prestasi dan produktiviti serta amat mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam meneliti sistem penilaian prestasi yang baru yang akan disesuaikan dengan amalan-amalan terbaik atau best practices.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara ini semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Baginda Sultan bertitah, selaku tulang belakang kerajaan, warga perkhidmatan awam berperanan besar untuk memperkemas dan memperlicin urus tadbir negara dan salah satu faktor ke arah itu, ialah dengan mengukuhkan kepimpinan.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.

“Dalam konteks perkhidmatan awam, kepimpinan adalah sangat penting di samping kemahiran. Pemimpin yang berkualiti bukan saja mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas, tetapi juga mempunyai kerajinan dan kesungguhan untuk melakukan apa saja pembaikan atau pembaharuan yang perlu.

“Mereka sanggup turun padang untuk melihat apa-apa yang perlu ditangani dan diperbaiki.

Inilah sifat pemimpin atau pegawai yang bagus.”

Baginda menyatakan bahawa kejayaan pemimpin atau pegawai dapat diukur dari cara mereka menangani tugas dan membimbing orang-orang di bawah mereka dan perkara itu adalah sangat penting, bagi memastikan segala rancangan dan matlamat dapat dicapai dengan sempurna.

“Dalam aktiviti perekonomian umpamanya, warga perkhidmatan awam sangat perlu memahami keperluan orang ramai, terutama para usahawan dan pelabur. Mereka ini sentiasa berhajatkan layanan dan pimpinan yang terbaik, sempurna dan cepat. Jika kita gagal, bererti ini adalah kegagalan kerajaan.

“Dalam kesempatan ini Beta ingin menyebut tentang laporan Bank Dunia ke atas peningkatan kedudukan terkini negara dalam Index Ease of Doing Business. Kedudukan negara kita dikatakan meningkat daripada 105 anak tangga kepada 84 anak tangga. Ini tidak syak lagi adalah satu pencapaian yang menggalakkan.

“Beta mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak yang bekerja keras dalam memperbaiki kedudukan tersebut, khususnya peneraju-peneraju dan Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri. Kita memang berhajat untuk benar-benar pro-business dan dikenali sebagai negara terbaik bagi perniagaan.”

Baginda menekankan bahawa kunci utama untuk mencapai matlamat itu ialah ‘budaya suka berubah’.

“Ia perlu untuk penjawat-penjawat awam. Jika budaya ini gagal diterapkan, maka agensi-agensi kerajaan tidak akan memperkemas kerja masing-masing ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

“Dunia kita sekarang sedang berada dalam kemelut ekonomi. Inilah masanya warga Perkhidmatan Awam mempelopori langkah berjimat-cermat, di samping meningkatkan komitmen dan usaha memajukan negara untuk hari ini dan juga untuk masa depan anak cucu kita.

“Dari aspek pelaksanaan dasar-dasar negara pula, Beta mengulangi lagi supaya kementerian-kementerian bersikap lebih proaktif dengan meningkatkan penyelarasan melalui pendekatan ‘whole-of-nation’ di semua peringkat.

“Namun semua ini memerlukan pemantauan yang rapi, untuk mengetahui matlamat, data dan perangkaan yang lengkap dan tepat. Oleh itu, semua agensi perlu meningkatkan kapasiti masing-masing dalam pengumpulan dan penganalisaan matlamat itu.

“Dalam menjalani budaya kerja, turut dipentingkan ialah prestasi dan produktiviti, sistem penilaian prestasi adalah bertitik-tolak pada pencapaian hasil kerja. Jika ia baik dan memuaskan, maka itulah, prestasi yang cemerlang.

“Beta merasa amat gembira dan mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam meneliti sistem penilaian prestasi yang baru yang akan disesuaikan dengan amalan-amalan terbaik atau best practices.

“Sistem penilaian itu diharap akan dapat membantu perubahan minda perkhidmatan awam yang lebih kompetitif dan seterusnya meningkatkan lagi produktiviti kerajaan.

“Beta berharap sistem baru ini akan diguna pakai secepat mungkin. Dalam hubungan ini, para penyandang Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang yang kita raikan hari ini, adalah merupakan contoh terbaik untuk jadi ikutan bagi setiap penjawat awam.

“Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka.

“Tidak lupa juga sekalung penghargaan kepada warga perkhidmatan awam yang telah bersara di atas segala khidmat bakti mereka kepada kerajaan dan negara. Semoga Alah Subhanahu Wa Ta’ala jua akan membalas mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya