Terbuka hati memilih agama Islam

Terbuka hati memilih agama Islam

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Seorang wanita warga Filipina telah mengambil peluang Awal Tahun Baru Hijrah ini untuk berhijrah menjadi seorang Muslim dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di salah sebuah rumah di Kampung Jangsak, malam ini.

Nerisa Terante Valenzuela yang telah berada di Brunei selama lebih kurang dua tahun telah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya di hadapan pegawai dari Unit Pengislaman dan Bimbingan Saudara Baru, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Syahidah Anirah binti Mohd Sina Al-Islam.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengislaman berkenaan ialah Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu.

Dengan mengucap Dua Kalimah Syahadah, Nerisa Terante Valenzuela yang berusia 30 tahun memilih nama Islamnya, Dayang Marissa Adriana binti Abdullah.

Dayang Marissa Adriana ketika mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.
Dayang Marissa Adriana ketika mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.

Dayang Marissa Adriana yang bekerja sebagai ketua juruwang di Freshco, Times Square, ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa hati beliau telah terbuka untuk memeluk agama Islam sejak beliau berada di Brunei.

Sifat ingin tahu beliau terhadap agama Islam dan dengan pertolongan teman lelaki beliau dalam mempelajari dan mendalami lagi pengetahuan beliau telah membuatkan Dayang Marissa akhirnya memutuskan untuk memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

Setakat ini, catatan keramaian saudara baru seluruh negara bagi bulan Januari hingga Ogos 2016 adalah seramai 341 orang, dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan seramai 177 orang.

ARTIKEL YANG SAMA