Terbuka hati terima agama Islam

Terbuka hati terima agama Islam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Okt – Seorang lelaki warga Filipina hari ini, melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Batalion Ketiga, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, di sini, hari ini.

Christopher Bendicion Diola, 48, pengurus kemudahan yang ditugaskan di Batalion Ketiga di bawah syarikat swasta, kini dikenali sebagai Awang Muhammad Ibrahim bin Abdullah Diola.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

Semasa ditemui, Awang Muhammad Ibrahim, memberitahu keinginannya untuk memeluk agama Islam sudah lahir sejak usia remaja lagi.

“Semasa saya masih remaja, saya pernah menyuarakan kepada ibu bapa, tetapi malangnya mendapat bantahan daripada mereka, tetapi kini saya sudah boleh menentukan hidup saya dan kepercayaan saya,” katanya.

Awang Muhammad Ibrahim semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman tersebut.
Awang Muhammad Ibrahim semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman tersebut.

Menurutnya lagi, dia akan lebih mendalami tentang Islam, dengan membanyakkan belajar dan menyertai kursus-kursus yang telah disediakan oleh Pusat Dakwah Islamiah di negara ini, supaya dia dapat menambah pengetahuan agama Islam.

Sementara itu dalam majlis berasingan, seorang lelaki berbangsa Dusun, Ridi Gaman turut melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis yang berlangsung di Kampung Perumpong, Sungai Liang dan kini dikenali dengan nama Awang Muhd Rudi bin Haji Muhd Alishah.

Dalam pada itu, Unit Dakwah Belait dalam statistiknya menyatakan orang-orang yang memeluk agama Islam di Daerah Belait setakat ini berjumlah 87 orang dan jumlah yang paling banyak adalah dalam kalangan bangsa Iban iaitu sejumlah 31 orang sejak bulan Januari hingga September lalu.

ARTIKEL YANG SAMA