Terbuka Malaysia beri ‘kejutan’

Terbuka Malaysia beri ‘kejutan’

SHAH ALAM, 6 April – Stadium Malawati yang menjadi gelanggang kejohanan berprestij Terbuka Malaysia hari ini memberi sambutan ‘mengejutkan’ kepada jaguh badminton dunia yang ternyata kurang berpuas hati dengan kemudahan disediakan.

Kejutan pertama dialami pasangan China, Tang Yuanting-Yu Yang ketika menentang beregu negara, Goh Yea Ching-Peck Yen Wei, apabila gelanggang mereka ditimpa titisan air dipercayai daripada sistem penghawa dingin stadium.

Berikutan itu, perlawanan terpaksa dihentikan kira-kira 15 minit ketika pasangan China berkenaan mendahului 12-5. Selepas berbincang, pengadil dan pegawai perlawanan bersetuju menukar gelanggang daripada gelanggang tiga ke gelanggang empat.

Selepas bertukar gelanggang, perlawanan antara pasangan China dan beregu negara berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Yuanting-Yu Yang 21-10, 21-8.

Selepas kejadian itu, bekas juara dunia, Lin Dan turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan penganjur menyediakan gelanggang pemanas badan yang kecil.

Beliau yang turun pada perlawanan pertama hari ini, nyata terkejut melihat ruang gelanggang pemanas badan yang disediakan kerana mengehadkan pergerakan ketika melakukan pemanasan badan.

“Kebiasaannya gelanggang pemanas badan adalah bersaiz penuh, tapi di sini ia begitu kecil…hanya setengah gelanggang. Jadi, ia amat sukar untuk melakukan banyak pergerakan ketika memanaskan badan,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 dan 2012 itu juga tidak berpuas hati dengan keadaan angin yang agak kuat ketika beraksi di gelanggang hari ini. Kali terakhir beliau beraksi di Stadium Malawati adalah pada Terbuka Malaysia edisi 2000.

Turut menyuarakan pendapat sama, beregu lelaki nombor empat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan yang tidak selesa melakukan pemanasan badan di gelanggang yang kecil.

“Kami tidak pernah melihat gelanggang sekecil ini untuk memanaskan badan. Ia begitu sukar untuk kami terutama pemain beregu untuk melakukan pergerakan sebelum menghadapi perlawanan sebenar,” kata Haifeng yang juga bersungut mengenai keadaan angin yang menyukarkan mereka mengatur strategi permainan.

Sementara itu, pada perlawanan pusingan pertama hari ini, Lin Dan menewaskan pemain perseorangan negara, Chong Yee Han 21-10, 21-15, manakala pasangan Haifeng-Zhang Nan menumpaskan Hendra Aprida Gunawan-Markis Kido dari Indonesia 21-17, 21-17 untuk mara ke pusingan kedua. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA